
Kematian Morsi: NGO Malaysia desak Mesir laksana badan siasatan bebas antarabangsa
Tiga badan bukan kerajaan (NGO) Malaysia mendesak kerajaan Mesir menubuhkan satu badan siasatan bebas antarabangsa bagi menyiasat kematian mengejut bekas Presiden Mesir Dr Mohamed Morsi selepas dilapor jatuh di mahkamah Kaherah, Mesir pada Isnin.
Kenyataan bersama itu dibuat oleh Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia Mohd Azmi Abdul Hamid; Ketua Aliansi Masjid seDunia Pertahanan Aqsa dan Ahli Persatuan Antarabangsa Ulama Islam Malaysia Datuk Ahmad Awang dan; Ketua Sekretariat Perhimpunan Ulama Asia Datuk Abdul Ghani Shamsudin.
“Kami menyokong gesaan untuk penyiasatan bebas antarabangsa ditubuhkan dan penemuan yang diperolehi di umumkan. Ini mesti dilakukan tanpa berlengah-lengah.
“Kami meletakkan rejim Mesir sepenuhnya bertanggungjawab atas kematiannya. Dengan keadaannya semasa dalam penjagaan penuh penindasan regim Mesir, kematiannya sengaja dirancang oleh kerajaan.
“Dia meninggal dunia melalui kempen agresif dan ganas oleh rejim Mesir,” ujar kenyataan bersama itu hari ini.
Kenyataan itu berkata, mereka sependapat bahawa rejim Mesir hari ini pasti bersalah atas kematian Dr Morsi kerana setiap hak seorang tahanan untuk beliau dinafi oleh rejim itu.
Justeru kami menggesa beberapa tindakan dilakukan oleh kerajaan Mesir.
“Siasatan antarabangsa yang bebas ditubuhkan dengan segera untuk melihat sebab kematiannya.
“Rejim Mesir yang dibawa ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa atas penafian hak Morsi dan penyeksaan ke atasnya oleh para pelaku yang menyebabkan kematiannya.
“Semua tahanan politik Mesir dibebaskan tanpa syarat.
“Pengharaman Ikhwanul Muslimin di Mesir dibatalkan dan hak-hak demokratik rakyat dikembali semula.
“Semua pemimpin Islam mengeluarkan kenyataan kecaman kepada rejim Mesir yang telah menindas suara rakyat yang membantah kezaliman regim Mesir,” ujar kenyataan itu.
Menurut kenyataan bersama itu lagi, yang memetik beberapa kenyataan dan laporan antarabangsa antaranya daripada Pengarah Eksekutif Human Right Warch (HRW) bahawa “kematian dahsyat tetapi dapat diramalkan”, memandangkan kegagalan regim Mesir membenarkan dia mendapatkan rawatan perubatan yang mencukupi.
Morsi dinafikan rawatan perubatan ketika ditahan dalam keadaan paling teruk seperti yang didokumentasikan oleh HRW.
HRW dipetik sebagai berkata “Dia telah dinafikan makanan dan ubat yang mencukupi. Kerajaan Mesir telah mengetahui dengan jelas mengenai keadaan kesihatannya yang merosot. Dia telah kehilangan banyak berat badan dan juga pengsan di mahkamah beberapa kali “.
“Dia ditahan di dalam penjara bersendirian tanpa akses kepada televisyen, e-mel atau komunikasi dengan kawan dan keluarga,” dipetik HRW
Tidak dapat diterima bahawa media Mesir hanya menggambarkan kematiannya di penjara akibat serangan strok.
Ikhwanul Muslimin di London, menyifatkan kematian Morsi sebagai “pembunuhan yang direncanakan”, mengatakan bahawa bekas presiden itu dilarang menerima ubat atau lawatan dan terdapat sedikit maklumat tentang keadaan kesihatannya.
Malah Panel Pengawasan Tahanan Bebas, memberi amaran bahawa kekurangan rawatan perubatan boleh menyebabkan kematian “pramatang” Morsi.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan selepas kematian Morsi, Crispin Blunt, pengerusi panel, berkata kematiannya dalam tahanan adalah disebabkan ketidakmampuan Mesir untuk merawat tahanan mengikut undang-undang Mesir dan antarabangsa.
Panel IDRP mendapati regim Mesir merahsiakan keadaan Morsi dalam keadaan disiksa terletak bukan hanya ditangan pelaku tetapi mereka yang bertanggungjawab atau bersekongkol.
Dia hampir enam tahun dipenjara di bawah penyiksaan dan penafian hak-hak asas mengikut undang-undang antarabangsa.
Dia telah mengalami kecuaian perubatan semasa dipenjarakan.
Berdasarkan laporan IDRP, Morsi berada dalam kurungan bersendirian selama 23 jam sehari, yang berdasarkan garis panduan PBB, akan mengklasifikasikannya sebagai penyiksaan.