
Kematian Morsi: Pemuda AMANAH desak siasatan bebas badan antarabangsa
Susulan kematian bekas Presiden Mesir yang dipenjarakan sejak tahun 2013 lagi, Dr Mohamed Morsi, Pemuda AMANAH Nasional mendesak satu siasatan bebas yang melibatkan badan-badan antarabangsa mengenai kematian tersebut.
Pengerusi Biro Antarabangsa, Pemuda AMANAH Nasional, Mohd Nasaie Ismail dalam satu kenyataan berkata, ini kerana laporan kematian yang disediakan oleh kerajaan dan media di Mesir diyakini berat sebelah disebabkan kematian beliau ketika berada dalam pengawasan pihak tentera dan penjara Mesir.
“Dua badan bebas antarabangsa iaitu Human Right Watch (HRW) dan Panel Review Detention (PRD) telah memberi amaran sebelum ini bahawa kegagalan pihak berkuasa Mesir untuk memberikan rawatan perubatan dan makanan yang mencukupi kepada Dr Morsi dan tahanan-tahanan lain akan menyebabkan kematian terhadap Presiden yang dipilih rakyat.
“Insiden Dr Morsi jatuh dalam mahkamah sehingga menyebabkan kematian bukanlah kali pertama kerana sebelum ini sudah beberapa kali beliau jatuh ketika perbicaraan dijalankan.
“Sekiranya di mahkamah yang dihadiri pihak luar telah berlaku beberapa kali insiden beliau pengsan ketika perbicaraan, adalah dipercayai situasi berganda lebih buruk didalam tahanan, ” ujarnya.
Menurut Nasaie lagi, umum mengetahui bagaimana layanan dan siksaan yang sering dikaitkan dengan Penjara Tora atau dikenali juga sebagai ‘penjara kala jengking’ terhadap tahanan-tahanan politik khususnya yang menentang kerajaan.
Sehubungan itu katanya, pimpinan Dr Morsi dan gabungan yang bergabung dengannya telah ditahan oleh pihak tentera serta dinafikan hak untuk mendapat perbicaraan yang adiL.
“Kematian Dr Morsi bukanlah kali pertama berlaku dipenjara Mesir dibawah regim Abdul Fattah As Sisi, sebaliknya sudah beberapa kali kejadian yang sama melibatkan pemimpiin dan penyokong FJP yang dipenjarakan,
“Dua bekas Mursyidul Am Ikhwanul Muslimin, Dr Muhammad Bade dan Muhammad Mehdi Akef yang turut ditahan telah menderita dan dinafikan hak mendapatkan rawatan sepanjang didalam tahanan dan sebahagiannya mati dalam tahanan,
“Oleh kerana itu Pemuda AMANAH Nasional mendesak badan-badan antarabangsa khasnya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), OIC dan Kesatuan Eropah (EU) menubuhkan badan siasatan bebas dan menyiasat punca kematian tersebut serta layanan buruk
terhadap tahanan yang lain, ” tambah beliau lagi.
Malah kata Mohd Nasaie lagi, badan-badan antarabangsa perlu mendesak Mesir membebaskan semua tahanan politik dan diberikan hak mendapat perbicaraan yang adil.
Beliau juga berkata, badan antarabangsa perlu menyiasat Presiden Mesir yang merampas kuasa Abdul Fattah As-Sisi, diatas kematian ribuan rakyat Mesir yang membantah kudeta oleh pihak tentera pimpinannya pada Jun 2013 yang lalu.