Malaysia Dateline

Kematian Nik Khatijah: IKRAM sedia beri kerjasama kepada polis

Pertubuhan IKRAM Malaysia sedia memberi kerjasama penuh dengan polis berhubung siasatan kematian seorang kakitangannya di sebuah rumah di Taman Bangi, Jalan Reko, Kajang, semalam.

Pejabat Setiausaha Agung Pertubuhan IKRAM Malaysia dalam kenyataan, malam tadi, memaklumkan pihaknya sudah pun memberikan kerjasama yang diperlukan polis dan akan terus berbuat demikian bagi membantu siasatan.

“IKRAM telah, sedang dan akan terus memberi kerjasama sepenuhnya dalam siasatan ini.

“Kebajikan keluarga dan waris almarhumah sedang diuruskan. Mohon kepada semua pihak untuk tidak membuat sebarang spekulasi bagi menghormati perasaan keluarga dan sahabat handainya,” katanya.

Dalam satu kenyataan berasingan di laman Facebook rasminya, IKRAM turut mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dikenali sebagai Nik Khatijah Nik Mud yang bertugas sebagai Pengurus Jabatan Advokasi di pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu.

Allahyarhamah yang berusia 32 tahun adalah bekas pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang berkhidmat dengan Ibu Pejabat IKRAM sejak 2013 sebagai eksekutif Jabatan Wanita sebelum dilantik sebagai Pengurus Jabatan Advokasi.

“Takziah kepada seluruh keluarga almarhumah, warga kerja Ibu Pejabat IKRAM dan ahli-ahli IKRAM Kajang, semoga dikurniakan kesabaran dan ketabahan atas pemergian ini.

“Dengan segala khidmat baktinya untuk dakwah melalui IKRAM, moga rohnya dicucuri rahmat Allah SWT, diampunkan dosa-dosanya dan digolongkan dalam kalangan mukminin, amilin dan solihin serta dikurniakan syurga-Nya, amin,” katanya.

Semalam, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan dalam kenyataan memberitahu mayat mangsa ditemui dengan kesan jerutan pada leher dalam rumah sewanya selepas menerima aduan kejadian itu pada jam 9 pagi.

Katanya, pemeriksaan awal mendapati mangsa dipercayai lebih 24 jam meninggal dunia sebelum mayatnya ditemui.