Kematian pelajar tahfiz: Polis klasifikasi kes bunuh

Kematian pelajar tahfiz: Polis klasifikasi kes bunuh

Polis mengklasifikasikan semula kes kematian pelajar tahfiz yang dilapor dipukul pembantu warden asrama sekolahnya sebagai kes bunuh.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata kematian Mohamad Thaqif Amin Mohd Ghaddafi itu akan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Kes adik Mohamad Thaqif Amin – PDRM ucapkan takziah kepada keluarga anak ini dan telah mengklasifikasikan semula siasatan di bawah Seksyen 302 (Kanun Kesiksaan) kerana bunuh,” kata beliau di laman Twitternya hari ini.

Beliau turut mengucapkan takziah kepada ahli keluarga Mohamad Thaqif Amin.

Berikutan itu, Khalid berkata polis akan mendapatkan laporan penuh perubatan dan melengkapkan siasatan dengan segera.

“Kes adik Mohamad Thaqif Amin – PDRM akan dapatkan laporan penuh perubatan dan lengkapkan siasatan dengan segera,” kata Khalid.

Manakala dalam perkembangan sama Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin meminta semua pihak supaya bertenang dan tidak membuat spekulasi berhubung kematian pelajar tahfiz, Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata semua pihak perlu menyerahkan kepada pihak berkuasa bagi menjalankan siasatan terperinci berlandaskan aspek perundangan.

“Membuat spekulasi hanya akan merumitkan lagi keadaan,” katanya dan menambah beliau bagi pihak kerajaan Johor amat berdukacita atas pemergian Mohamad Thaqif Amin.

Mohamed Khaled turut menyeru semua pihak supaya menyedekahkan al-Fatihah dan berdoa supaya rohnya dicucuri rahmat Allah S.W.T.

Mohamad Thaqif Amin, 11, yang dijadual menjalani pembedahan untuk memotong tangan kanannya hari ini meninggal dunia pada 2.05 petang tadi di Hospital Sultan Ismail (HSI). Pelajar madrasah tahfiz swasta di Kota Tinggi itu sebelum ini dipotong kedua-dua belah kakinya hingga paras peha akibat jangkitan kuman, Jumaat lepas.

Kisah pelajar itu yang dimasukkan ke HSI Rabu lepas menjadi tular di media sosial selepas mengalami kecederaan pada bahagian kaki sejak dua minggu lepas dikatakan akibat dipukul oleh pembantu warden madrasah itu.