Malaysia Dateline

Kematian penghuni Flat Gugusan Mawar punca gerai dirobohkan kata MBPJ

Kematian seorang penghuni wanita di Flat Gugusan Mawar yang didakwa positif denggi pada 23 Januari lepas membawa kepada perobohan gerai di sepanjang Jalan Camar, Seksyen 4,Kota Damansara, selain tidak menepati syarat perniagaan berlesen yang sah walaupun sudah 10 tahun berniaga.

Melalui kenyataan yang dikeluarkan oleh Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) semalam, MBPJ kerjasama dengan Pejabat Kesihatan Daerah pada 12 Februari lalu telah membuat pemeriksaan dan menemui 11 lokasi pembiakan nyamuk aedes di sekitar kawasan tersebut.

“Laporan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor juga mengesahkan kawasan di sekitar Gugusan Melur terbabit adalah kotor, bersampah, serta terdapat struktur reban ayam dan pondok yang menjadi lokasi tempat penagih dadah.

“Terdahulu MBPJ yang membuat siasatan awal mendapati tujuh struktur tanpa kebenaran didirikan di lokasi terbabit yang melibatkan enam struktur gerai dan satu pusat mencuci kereta.

“Setelah tindakan notis terakhir dikeluarkan oleh pihak Majlis pada 27 Februari, beberapa pemilik telah akur dengan arahan notis itu dan membuka sendiri struktur gerai tersebut,” katanya.

Tambah kenyataan itu, semasa operasi penguatkuasaan 6 Mac melibatkan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) itu telah menahan dua orang lelaki yang disyaki penagih dadah.

MBPJ juga mengambi tindakan kompaun dan notis kepada peniaga bermula 2017 hingga Februari 2019 dengan jumlah kompaun dikeluarkan sebanyak (40 kompaun), notis berhenti niaga (32 notis), dan notis roboh (29 notis).

“Tindakan penguatkuasaan akan dijalankan secara konsisten di seluruh Petaling Jaya tanpa pilih kasih. Majlis juga ingin menegaskan agar para peniaga memohon lesen mengikut saluran yang betul dan mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan,”katanya.

Baca:   Sivarasa memang tidak pernah setuju gerai penjaja Melayu diroboh