Malaysia Dateline

Kematian pramatang di Malaysia meningkat, kata Dr Dzulkefly

Dr Dzulkefly dan Chong memukul gong sebagai simbolik perasmian Pelancaran Kampungku Sihat Peringkat Parlimen Stampin di Kampung Tematu di Kuching hari ini.

Penyakit Tidak Berjangkit ataupun NCD (Non Communicable Diseases) yang merupakan penyebab utama kematian pramatang di Malaysia ketika ini masih menunjukkan peningkatan.

Menurut Menteri Kesihatan Malaysia Dr Dzulkefly Ahmad, Jabatan Statistik Malaysia telah melaporkan bahawa Penyakit Jantung Iskemik masih lagi merupakan penyebab utama kematian pada tahun 2018 dengan purata 50 kematian sehari berbanding 37 kematian pada tahun 2017.

Katanya, jumlah kematian ini meningkat sebanyak 35% peratus iaitu 18,267 kematian pada tahun 2018 berbanding 13,503 kematian pada tahun 2017.

Justeru tegas beliau, Tinjauan Kesihatan dan Mobiditi Kebangsaan yang dijalankan oleh KKM pada 2015 pula mendapati 30% rakyat Malaysia Dewasa mengidap hipertensi dan hampir 20% mengalami masalah diabetes.

“Komplikasi penyakit ini boleh menyebabkan penyakit jantung koronari yang mana insiden penyakit ini di Malaysia dianggarkan sebanyak 141 kes bagi 100,000 orang penduduk.

Orang ramai dari sekitar Kampung Tematu yang hadir pada program berkenaan.

“Maka saya bertanggungjawab mengingatkan, separuh dari kes diabetes dan hipertensi ini adalah undiagnosed, yang mana pesakit tidak tahu yang mereka berpenyakit, tidak mengambil sebarang rawatan dan lebih teruk lagi, masih meneruskan amalan gaya hidup yang tidak sihat.

“Akibatnya penyakit mereka bertambah serius dan akhirnya mendapat komplikasi seperti sakit buah pinggang, kebutaan, gangrene anggota tangan atau kaki, selain menjadi punca kepada penyakit jantung koronari yang saya maklumkan tadi,” ujarnya.

Dr Dzulkefly berkata demikian semasa berucap pada Majlis Pelancaran Program Kampungku Sihat Peringkat Parlimen Stampin di Kampung Tematu di Kuching hari ini.

Kampung Tematu adalah di bawah Dewan Undangan Negerii (Dun) Batu Kitang di Sarawak.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) merangkap Ahli Parlimen Stampin Chong Chieng Jen dan Pengarah Kesihatan Negeri Sarawak, Dr Jamilah Hashim.

Dr Dzulkefly menjelaskan, berasaskan situasi berkenaan, KKM telah memandang serius kepentingan pengesanan awal penyakit tidak berjangkit.

Untuk itu, tambahnya, kerajaan telah memperkenalkan Skim Peduli Kesihatan untuk kumpulan B40 (PeKa B40) berumur 40 tahun ke atas, yang mana aktiviti saringan penyakit tidak berjangkit merupakan salah satu komponen utama skim.

Di samping itu, katanya KKM turut menjalankan program-program komuniti berkaitan NCD yang menekankan aspek saringan seperti KOSPEN dan Enhanced Primary Health Care (EnPHC) dengan aktiviti saringan dilakukan oleh pasukan sukarelawan terbabit.

“Saya menyeru tuan-puan semua untuk mengambil bahagian secara aktif dalam aktiviti program-program ini dan gunakanlah kemudahan-kemudahan yang disediakan ini ke arah kehidupan sihat sejahtera bebas dari NCD atau komplikasi NCD,” jelas beliau lagi.

Ujarnya, kerajaan juga melalui Kementerian Kewangan Malaysia menyediakan Skim Perlindungan Kesihatan MySalam bagi golongan B40.

“Semua penerima Bantuan Sara Hidup Rakyat 2019 berumur 18 hingga 55 tahun beserta pasangan mereka adalah layak mendaftar ke dalam skim ini.

“Skim ini menyediakan bayaran RM8,000 secara terus sejurus penerima yang berdaftar didiagnos dengan mana-mana penyakit yang tersenarai dalam 36 penyakit kritikal yang mana hampir separuh darinya adalah penyakit tidak berjangkit atau komplikasi darinya,” katanya.

Beliau memberitahu, baru-baru ini KKM telah melancarkan buku Manual CPR Komuniti dan program Mass CPR serta latihan lengkap CPR untuk komuniti dijadikan salah satu agenda penting program NCD.

Katanya, dua latihan besar-besaran telahpun diadakan di dua buah negeri iaitu Kedah dan Sabah yang mana 300 komuniti diberi latihan.

“Program mempromosi CPR juga telah diadakan yang mana 1,600 komuniti telah diajar dan dilatih bagi memberi ‘chest compression’ semasa sesi Mass CPR. CPR atau Cardiopulmonary Ressuscitation yang bertujuan memberi bantuan awal untuk pemulihan sistem jantung dan paru-paru sekaligus memastikan bekalan darah dan oksigen dapat diteruskan ke seluruh tubuh seseorang yang mengalami serangan jantung mengejut.

“Kajian antarabangsa menunjukkan CPR segera iaitu dalam tempoh 4 minit jantung terhenti meningkat Dan peluang mangsa untuk hidup tanpa melibatkan kerosakan kekal pada organ penting yang lain terutamanya sel-sel otak,” jelas Dr Dzulkefly.