Kematian yang dicemburui, imam rebah lepas sampaikan khutbah solat Jumaat

Oleh WAN SITI AMINAH

Perkongsian kisah kematian indah seperti menghembuskan nafas terakhir ketika sedang beribadah sering mengundang rasa haru dari orang ramai.

Tidak dapat dinafikan, kematian dengan pengakhiran baik atau husnul khatimah ini sering dicemburui dan menjadi dambaan setiap hamba Allah SWT yang beriman.

Seperti yang berlaku kepada Imam Masjid Mahmudi Mukim Kedai Melor, Mohd Zamai @ Suhaimi Ibrahim yang meninggal dunia selepas mengimamkan solat Jumaat.

Sebelum insiden di Kota Bharu, Kelantan itu berlaku, arwah yang berusia 73 tahun telah menyampaikan khutbah Jumaat bertemakan kemerdekaan di masjid tersebut.

Penghulu Mukim Padang Raja, Fadli Shah Ismail berkata, arwah kemudian mengimamkan solat Jumaat sebelum menyambung mendirikan solat sunat.

Sejurus selesai memberi salam pada tahiyat akhir solat sunat, Mohd Zamai tiba-tiba rebah ke kiri badan kira-kira pada jam 2 petang, semalam (1 September).

Memetik laporan Berita Harian, makmum yang berada di masjid segera mengambil tindakan dengan menghubungi ambulans sebelum arwah disahkan meninggal dunia.

“Makmum yang berada di masjid pada ketika itu segera menghubungi ambulans dan membantu arwah sebelum pegawai perubatan tiba.

“Bagaimanapun, pegawai perubatan daripada Klinik Mahligai Melor mengesahkan arwah sudah meninggal dunia,” kata Fadli Shah.

Jasad Mohd Zamai kemudian dibawa pulang ke rumahnya yang terletak di belakang klinik dengan menaiki van jenazah milik masjid Mahmudi Mukim Kedai Melor.

Fadli Shah turut memaklumkan bahawa jenazah Mohd Zamai dikebumikan di Tanah Perkuburan Mahligai selepas solat Isyak.

Difahamkan, arwah Mohd Zamai sudah menjalankan khidmatnya sebagai imam utama di masjid berkenaan selama lebih 20 tahun.

Baca juga: Suami Madammu tak bagi bayi sulung mandi air paip di kampung, rela belikan berbotol air mineral