Bekas isteri kepada pelakon, Keith Foo iaitu Kim Raymond selamat melangsungkan perkahwinan dengan pengarah filem, Zahir Omar dalam satu majlis yang diadakan secara tertutup, semalam.
Suasana majlis perkahwinan Kim yang turut bergelar pempengaruh itu bagaimanapun dapat dilihat menerusi beberapa hantaran dimuat naik oleh tetamu di platform Instagram.
Hantaran yang merakamkan detik indah sepanjang majlis itu berlangsung kemudian diulang siar ataupun di‘repost’ semula oleh wanita terbabit menerusi perkongsian dimuat naik di Instagram Story.
Dalam perkongsian itu, Kim terlihat begitu anggun ketika mengenakan busana pengantin rekaan pereka terkenal, Adila Long dan sentuhan solekan eksklusif oleh jurusolek, Tiar Zainal.
Pasangan sama cantik, sama padan yang mengenakan baju sedondon berona krim itu sah bergelar suami isteri dengan sekali lafaz dan Kim turut menerima mas kahwin berjumlah RM800 dalam majlis tersebut.
Terdahulu, Kim mula menjadi sorotan susulan penularan gambar memaparkan dirinya mengenakan jubah lengkap bertudung hitam dipercayai selepas memeluk agama Islam pada Oktober lalu.
Kim difahamkan memeluk Islam pada 24 Oktober lalu di Markas Al-Khadeem, Kampung Sungai Kayu Ara, Petaling Jaya, Selangor dan diislamkan oleh pendakwah terkenal, Datuk Sheikh Hussain Yee yang juga Presiden Al-Khadeem.
Pempengaruh terbabit pernah mendirikan rumah tangga bersama pelakon, Keith Foo pada November 2015 dan dikurniakan seorang anak perempuan bernama Skylar Raymond yang kini berusia 7 tahun.
Walau bagaimanapun, perkahwinan pasangan berkenaan dilaporkan berakhir pada Disember 2019 apabila kedua-duanya memilih untuk berpisah namun tetap mengekalkan hubungan baik demi anak mereka.
Baca juga: Sering diganggu lelaki miang, pelakon baru tepis godaan, sedar harga diri