Kembali kepada polisi untungkan rakyat jika PH mahu menang pilihan raya, kata Uncle Kentang

Kembali kepada polisi untungkan rakyat jika PH mahu menang pilihan raya, kata Uncle Kentang

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) perlu lebih memberikan perhatian kepada polisi-polisi yang menguntungkan rakyat jika mahu menang dalam pilihan raya dan kekal memerintah, kata calon Bebas Kuan Chee Heng.

Beliau yang lebih dikenali  dengan panggilan  ‘Uncle Kentang’  sepanjang  kempennya berkata, rakyat sedang memerhati kerajaan hari ini kekalahan  calon PH Mohamad Aiman Zainali  adalah ‘signal’ (petanda) kepada kerajaan yang baharu memerintah.

“Keputusan malam ini (semalam) menunjukkan rakyat sedang memerhati kerajaan yang memerintah.

“Kekalahan calon PH satu ‘signal’ kepada kerajaan yang ada sekarang. Mereka telah mengubah banyak polisi yang tidak menguntungkan rakyat bawahan. Untuk esok ( masa hadapan)  kerajaan  perlu lebih menyediakan polisi hyang memihak kepada rakyat, ” ujarnya ketika ditemui Malaysia Dateline di Dewan Seri Cempaka Majlis Perbandaran Kajang, Saujana Impian semalam.

Ditanya mengenai kekalahannya yang hanya memperoleh 725 undi, dengan berseloroh beliau berkata:”Saya tahu saya akan kalah tetapi saya menang bergambar dan dapat memenangi hati rakyat di Semenyih yang telah sudi mengundi saya.

“Ini penting (pengundi) kerana sebagai seorang berbangsa Cina saya berani masuk (bertanding) di kawasan peratusan tinggi pengundinya orang Melayu di Semenyih.

“Saya juga berterima kasih kerana mereka sudi undi saya. Bagi yang tidak mahu pilih… selepas ini aya akan cuba tolong dan akan cari lebih ramai lagi orang susah di Semenyih,” ujarnya.

Beliau turut memuji perjalanan pilihan raya yang dikendalikan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sepanjang kempen berlangsung.

Malah katanya keputusan PRK Dun Semenyih  menunjukkan pengamalan sistem demokrasi di negara ini adalah terbaik

“Kita harus berterima kasih kepada kerajaan dan SPR kerana mengadakan pilihan raya dalam suasana demokrasi yang terbaik sekali. Saya tidak serik untuk bertanding lagi,” ujarnya yang hadir ke pusat pengumpulan peti undi semata-mata untuk mengucapkan tahniah kepada calon parti yang menang.

Semalam SPR mengumumkan Calon BN, Zakaria Hanafi memperolehi 19,780 undi dengan majoriti 1,914 menewaskan, calon Pakatan Harapan Muhammad Aiman meraih 17, 866 undi, Nik Aziz Afiq Abdul mewakili Parti Sosialis Malaysia memperoleh 847 undi dan  calon bebas Kuan Chee Heng 725.

Kerusi Dun Semenyih kosong susulan kematian penyandangnya, Allahyarham Bakhtiar Mohd Nor  pada 11 Januari lepas.