Kembali rehat panjang 2 minggu di hospital UiTM Sungai Buloh

Kembali rehat panjang 2 minggu di hospital UiTM Sungai Buloh

Ada teman mengingatkan saya, catatan santai bersiri kenangan empat malam di wad Hospital Ampang semasa Ramadan lalu belum saya lunaskan.

Begitu juga dengan coretan warna-warni berhari raya di kampung yang masih tergantung, meskipun kita sudah di ambang Zulhijah apabila kebanyakan jamaah haji berada di tanah suci dan persiapan ibadah korban telah dimulakan.

Rupanya saya ditakdirkan untuk terus menulis tentang kembara menghayati makna keuzuran di samping bercuti seketika daripada kebingitan pergolakan siyasah. Catatan terdahulu belum tamat, dihadapkan pula dengan episod baharu hampir serupa.

Hujung minggu pertama Julai ini pula saya dikejarkan ke Hospital Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sungai Buloh ekoran sakit dada berpanjangan yang agak serius, disyakki akibat serangan jantung.

Selepas mendapat rawatan kecemasan menjelang senja Sabtu itu, saya ditempatkan semalaman di unit CCU (coronary care unit), sebelum dipindahkan ke wad biasa esoknya.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad bersama pasukan pakar jantung HUiTM Sungai Buloh yang merawat Ahmad Lutfi.

 

Seorang jururawat yang bertugas di bahagian kecemasan bertanya, mengapa saya memilih Pusat Perubatan UiTM Sungai Buloh yang jaraknya relatif jauh dari kediaman saya, di Bukit Ampang, di samping menempuh kesesakan lalulintas yang memungkinkan pelbagai risiko buruk berlaku.

Sambil membetulkan kaki mencari keselesaan selepas jantung diperiksa di sebuah bilik yang sunyi, saya menjawab perlahan seraya tersenyum, “pakar bedah bypass jantung saya 10 tahun dulu kini bertugas di sini, sekarang dekan fakulti perubatan”.

“Jangan begitu pakcik,” pintas jururawat berwajah manis itu, “lain kali kalau sakit dada, telefon saja ambulans, biar mereka yang pilih hospital mana paling dekat dan cepat sampai, setiap minit amat berharga untuk pesakit jantung”.

Terkedu juga saya mendengarnya. Saya baharu sahaja melalui detik-detik kritikal yang menyakitkan. Alhamdulillah, syukur tidak terhingga, jantung masih berdegup, Allah memberi kesempatan untuk bertaubat dan berbakti.

Sebenarnya alasan saya memilih UiTM kerana saya cukup selesa dengan pendekatan Prof Dr Mohd Zamrin Dimon, yang mengetuai operasi pembedahan pintasan jantung saya, pada April 2010 di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia. Lebih kurang tiga tahun selepas itu beliau berpindah ke UiTM, Sungai Buloh dan kemudiannya bertanggungjawab meletakkan nama hospital universiti itu antara pusat perubatan ulung dalam bidang kardiotorasik.

Bersama Prof Dr Mohd Ramzisham Abdul Rahman ketika itu, Dr Zamrin dengan watak dan wajahnya yang tenang berjaya menyudahkan tugasannya dengan baik sekali. Biarpun pergerakan saya agak terbatas disebabkan serangan angin ahmar ringan semasa pembedahan, saya masih berupaya memikul amanah sebagai ketua pengarang Harakah dan bebas menjelajah ke seluruh pelosok tanahair. Dan Dr Zamrin sentiasa terbuka pada bila-bila masa untuk saya bertanya sebarang kemusykilan berkaitan jantung. Hinggakan beliau sendiri pernah menghantar mesej, mengapa saya lama tidak mengunjungi kliniknya.

Justeru, apabila prof pembedahan kardiotorasik itu berpindah ke Fakulti Perubatan UiTM, saya dengan senang hati mengikutinya. Cuma, saya bukannya pesakit yang berdisiplin, walaupun pelbagai nasihat, pantang-larang dan amalan hidup sihat yang dititipkan Prof Zamrin. Lebih-lebih lagi apabila tahap kesihatan saya makin merosot, khususnya kualiti penglihatan terjejas teruk dan saya terpaksa mengikuti rutin ketat dialisis tiga kali seminggu. Maka temujanji kami kerap terabai sehinggalah dada saya sering sakit.

Saya lebih menumpukan kepada ikhtiar rawatan berkaitan diabetik retinopati yang mengakibatkan upaya pembacaan saya cukup terbatas. Bayangkan betapa seksa dan sengsaranya seorang wartawan untuk terus berkarya dalam keadaan mata kabur teruk. Terasa kecil dan sunyinya dunia. Bagaimana mahu mengolah sudut pandang jika maklumat dan ilmu makin terbatas, malah terputus daripada sumber utama? Langkah menyelami situasi sebenar di lapangan pula terhalang dek kelemahan anggota kaki.

Dalam tempoh yang panjang, saya seakan sudah terlupa tentang penjagaan kesihatan jantung yang sebenarnya tidak boleh diambil mudah. Banyak juga ubat-ubatan penting yang terabai. Pendek kata, diri sendiri yang cuai, termasuk merawat kencing manis dan tekanan darah tinggi; pintu kepada segala penyakit.

Pada malam Sabtu 6 Julai itu, dada sebelah kiri saya terasa bagai dicucuk sembilu; pedih dan perit. Pada tengah hari siangnya, Jumaat, saya sempat menghadiri mesyuarat editorial portal berita Malaysiadateline.com di Kota Damansara. Teman karib saya, Natjman Zakaria setia menemani. Semasa di Harakah dahulu, Natjman jugalah yang bertindak bagai pendamping penguat langkah, dari Perlis ke Johor, sampai ke Sandakan dan Tawau, Sabah.

Malam yang dingin itu terasa lambat sekali gerakan putaran jamnya. Sekejap baring, sekejap duduk di birai katil, beralih pula ke kerusi menulis, tangan kiri yang lemah menjalar ke sebelah kanan terasa lenguh dan sakit berbisa. Saya mula terbayang keperitan terpaksa jalani pembedahan bypass sekali lagi. Dan cuti panjang yang harus dilalui tanpa rela. Saya minta isteri memanggil naik ketiga-tiga anak lelaki. Masing-masing duduk bersila di lantai dengan riak wajah gelisah. Mohon doa selamat dan membaca Yaasin. Pasrah atas ketentuan Ilahi. Moga Allah ringankan kesakitan yang terasa makin memberat.

Kedunguan menahan diri daripada segera mendapat rawatan di hospital. Dua hari sebelum itu, saya bertemu Prof Zamrin di klinik jantungnya. Itu pertemuan pertama kami selepas tiga tahun tidak berjumpa. Dia pun sudah menjadi dekan dan mungkin jarang sekali merawat pesakit. Melihat saya nampak bertenaga dan tiada sakit di dada, saya dibenarkan pulang dan datang semula untuk temujanji bulan September.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu menziarahi Ahmad Lutfi sekembalinya dari Bangkok selepas mengikuti mesyuarat menteri pertahanan Asean.

Sakit yang terasa menusuk jantung beransur lega kira-kira dua jam sebelum azan subuh berkumandang. Barulah dapat melelapkan mata, merehatkan badan yang hampir lesu. Dan pagi Sabtu itu, pakar ginjal dijadualkan melawat pusat dialisis kami; rutin tiga bulan sekali.

Menghampiri tengah hari, masih di atas kerusi rawatan, dada sebelah kanan terasa berat bagai dihempap batu. Ada kalanya jantung semacam membengkak. Situasi sepanjang malam tadi berulang. Segera saya menghantar mesej kepada Prof Zamrin. Dia berada di luar kota, di utara Semenanjung.

Sekitar jam 11 pagi, Prof Zamrin memberi reaksi: “Lepas dialisis terus ke emergency PPUiTM, masuk wad, boleh observed dan kalau perlu boleh buat echo urgent dan angiogram Isnin atau Selasa.”

Operasi angiogram untuk mengenal pasti saluran darah jantung tersumbat dilakukan pada hari Selasa, 9 Julai, bertepatan hari kelahiran saya. Seorang doktor di bilik prosedur sempat mengingatkan hari penting itu ketika memulakan operasi. Saya yang terbujur lemah sekadar membalasnya dengan senyuman. Hampir sepuluh tahun lalu, di sebuah pusat rawatan swasta, di belakang Ibu Pejabat Tabung Haji, Jalan Tun Razak, saya telah menjalani tiga kali prosedur angioplasty, yang berakhir dengan kegagalan.

Satu dekad kemudian, saya tidak menjangka perlu melalui prosedur sama. Berdebar juga menunggu keputusan ujian itu. Mungkinkah saluran bypass itu sudah tersumbat? Bolehkah seseorang pesakit menjalani pembedahan pintasan jantung sebanyak dua kali?

BERSAMBUNG