Kembalikan jawatan Pengerusi PAC kepada wakil pembangkang segera

Kembalikan jawatan Pengerusi PAC kepada wakil pembangkang segera

Biro Integriti & Anti Rasuah Perkasa Malaysia menzahirkan kekesalan dan mengkritik keengganan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir menyerahkan jawatan Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), kepada wakil pembangkang bagi terus mengekalkan dasar integriti dan ketelusan jawatankuasa tersebut.

Timbalannya, Syed Mohd Shahriman Syed Badrishah menegaskan, jawatan Pengerusi PAC yang dipegang Datuk Seri Ronald Kiandee, di mana beliau dilantik ketika pemimpin itu masih bersama pembangkang, wajib dilepaskan apabila beliau mengumumkan menyertai Parti Bersatu, salah satu parti komponen Pakatan Harapan (PH) semalam.

Beliau berkata, sekiranya jawatan Pengerusi PAC tetap dipegang oleh wakil kerajaan, pihaknya menjangkakan akan ada ancaman terhadap integriti jawatankuasa tersebut yang diberi mandat paling besar dalam memantau urusan kewangan negara dan memastikan ketelusan pengurusan.

“Kami juga ingin mengingatkan Tun Mahathir agar jangan sesekali melupakan janji-janji dalam manifesto PH yang dilihat kian hari kian pupus dan tidak akan ditunaikan.

“Salah satu janji dalam manifesto PH adalah, untuk mengukuhkan tadbir urus dan integriti dalam pentadbiran negara,” katanya menerusi satu kenyataan media hari ini.

Syed Mohd yang juga Naib Ketua Wira Perkasa Malaysia, berkata, pihaknya berikrar akan mengkritik sekeras-kerasnya tindakan kerajaan yang enggan melepaskan jawatan tersebut kepada wakil pembangkang.

Katanya, tindakan itu dilihat mencabar dasar integriti dan ketelusan jawatankuasa kewangan negara.

“Secara tidak langsung, ia sekali gus membuka ruang dan peluang ke arah ketirisan dalam tadbir urus kewangan negara yang boleh mengakibatkan kerugian besar kepada rakyat negara ini,” tegasnya dalam kenyataan itu.