Malaysia Dateline

Raja Bahrin Shah

Kembalikan kedaulatan Malaysia di pentas antarabangsa

Parti Amanah Negara (AMANAH) menggesa Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad
mendedahkan sejauh mana penglibatan tentera Malaysia dalam peperangan Yaman semasa waktu
pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pengerusi Biro Antarabangsa Amanah Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata, perkara ini sering dinafikan oleh Malaysia setiap kali beliau mengulangi soalan di Parlimen walaupun berbekal dengan lapuran Bangsa-bangsa Bersatu sebagai bukti.

“Kita tidak harus terlibat lagi tetapi terus menarik diri dari sekutu tentera Arab Saudi dalam isu Yaman. Terlalu banyak nyawa rakyat Yaman tua, muda dan anak kecil yang tidak berdosa telah terkorban. Tentera Malaysia harus di tarik keluar serta merta dari sekutu Arab Saudi,”katanya.

Malaysia dibawah Tun Mahathir dahulu juga terkenal menentang kekejaman Israel ke atas rakyat Palestin .

Beliau percaya Tun Mahathir akan mengkaji semula hubungan Malaysia dengan Israel untuk mengembalikan maruah Malaysia dimata negara negara Islam lain.

“Terlalu ramai nyawa rakyat Palestin tidak bersenjata dan tidak berdosa di korbankan dengan kejam oleh tentera zalim Israel pada bulan ramadhan baru baru ini.

“Kita berada di era Malaysia baru di mana maruah serta martabat negara perlu di kembalikan ke puncak persada keagungan dunia Islam seperti dahulu.

“Tiada lagi peranan kita tunduk sebagai “khadam” kepada ketua negara kaya seperti Raja
Arab Saudi atau Presiden Amerika dan Israel,” ujarnya.

Katanya, sudah sampai masanya Malaysia di bawah Tun Mahathir membuat pendirian baru dan
tegas dalam isu Yaman dan Israel.

Apatah lagi katanya, Tun Mahathir terkenal luas di pentas dunia antarabangsa menentang
kekejaman Zionis Israel dan penindasan negara kecil dunia ketiga kecil seperti Yaman.

Jelasnya, di dalam Islam prinsip keadilan serta maruah amatlah penting dan dalam usaha membina semula Malaysia ke peringkat kegemilangan seperti dahulu, harga Agama dan diri serta bangsa mesti di pelihara.

Dua hari sebelum Hari Raya Aidil Fitri, tentera Arab Saudi bersama sekutunya menyerang Yaman dengan begitu dahsyat sekali.

Bandar utama Yaman di serang di ambang Aidil Fitri yang mulia semasa umat Islam bersedia menyambut kemenangan Ramadhan al Mubarak.

“Tidak hairan mana kalau di fikirkan Arab Saudi begitu rapat dengan Yahudi Israel sekarang dan dalam sekutu tentera Arab Saudi ada Amerika Syarikat, Britain serta Perancis. Kita jangan lupa Malaysia sebelum ini juga berada dalam sekutu tentera Arab Saudi terlibat dengan operasi Yaman.

“Bukan itu saja persamaan fahaman aneh kita dengan Saudi, kita juga telah berjinak jinak
dengan Israel dengan perniagaan RM6 billion dan membenarkan pegawai pegawai kanan Israel
memasuki Malaysia semasa waktu Datuk Najib menjadi Perdana Menteri.

“Ini adalah mengikut jejak Arab Saudi yang makin akrab dengan Israel. Yang hairannya Kerajaan Datuk Najib tidak pula di gelar ” liberal ” oleh Pas . Kerajaan Najib juga tidak di tuduh menjadi “khadam” kepada Israel. Mengapa agaknya ?”soal beliau.