Malaysia Dateline

Kembalikan kegembiraan, kasih sayang dalam kalangan guru

Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan (PH) menyifatkan guru sebagai tonggak pendidikan negara sekali gus mencorakkan masa depan negara.

Pengerusinya, Dr Maszlee Malik yang juga bekas Menteri Pendidikan berkata, guru merupakan insan istimewa kerana telah menyuburkan jiwa-jiwa yang merdeka.

“Guru bukan sahaja mendidik, malah menumbuhkan jati diri anak didik hingga mampu mendepani kehidupan dengan dengan berani,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Selain Maszlee, turut menganggotai jawatankuasa itu ialah Nik Nazmi Nik Ahmad (PKR), Teo Nie Ching (DAP) dan Datuk Dr Hasan Baharom dari AMANAH.

Menurut kenyataan itu lagi, cabaran menjadi seorang guru juga semakin getir pada musim pandemik Covid-19 ini.

“Norma baharu memaksa para guru menjadi lebih kreatif, bertindak pro-aktif dan mengusahakan segala pendekatan di luar kerangka keselesaan dan konvensional demi memandaikan anak-anak bangsa,” ujarnya.

Sehubungan itu, Jawatankuasa Pendidikan PH mengingatkan hasil kemenjadian murid pasti tidak akan dapat dicapai jika guru hidup dengan tekanan dan bebanan.

“Kembalikanlah kegembiraan dan kasih sayang dalam kalangan para guru yang pernah mereka kecapi dahulu walaupun singkat, kerana kegembiraan mereka adalah sinar kejayaan negara dan generasi mendatang.

“Dengan rendah hati kami mengucapkan ‘Selamat Hari Guru’ kepada semua warga pendidik
walau di mana anda berada,” katanya lagi.