Kembalikan merit sebagai standard di universiti awam

Kembalikan merit sebagai standard di universiti awam

Centre For Malaysian Political And Economic Transcendence (Competent) mengalu-alukan pengumuman pemansuhan Majlis Professor Negara (MPN) yang dibuat oleh YAB Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ketua Eksekutif Competent, Wan Anwar Wan Ibrahim berkata, ini kerana Entiti MPN yang sepatutnya mewakili suara golongan ilmuan bijak pandai, didapati telah terseleweng menjadi golongan pengampu paling tegar kepada kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN).

Kata beliau, Competent melihat kewujudan MPN yang pada dasarnya berniat baik untuk mengumpulkan ilmuan yang akan menasihati kerajaan telah bertukar menjadi satu bencana intelektual apabila ramai antara mereka yang mendapat gelaran profesor adalah mereka yang tidak layak.

“Umum sudah lama mengetahui tentang budaya mengampu ahli politik adalah antara cara utama untuk dilantik menjadi kepimpinan utama universiti.

“Budaya mengampu ini berterusan pula apabila pensyarah-pensyarah mengampu kepimpinan universiti untuk mendapatkan jawatan profesor madya dan profesor. Hasilnya, ‘profesor kangkung’ semakin ramai dalam MPN dan mencorakkan dan mengubah MPN menjadi persatuan pengampu kerajaan.

“Competent berpendirian bahawa Kementerian Pendidikan seharusnya merangka satu standard berdasarkan merit dalam melantik Naib Canselor (NC) dan Timbalan Naib Canselor (TNC) universiti,” kata beliau dalam kenyataan medianya hari ini.

Jelas Wan Anwar, umum sudah tentu tidak senang dengan khabar angin seperti TNC (Penyelidikan) Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), sebagai contoh, mempunyai Google Scholar H-Index sebanyak 6 sahaja sedangkan ada beberapa lagi pensyarah di universiti sama yang menjadi rujukan dunia dan H-Index nya lebih daripada 20.

Tambahnya, sama juga dalam isu pelantikan profesor madya dan profesor. Merit haruslah menjadi penanda aras yang utama. Ini kerana pemberian gelaran profesor ini kadang-kadang disalahguna oleh kepimpinan utama universiti untuk diberikan kepada diri sendiri ataupun kroni.

“Perkara ini menjadi buah mulut persatuan pelajar apabila bekas NC sebuah universiti di utara tanah air memberikan kepada diri sendiri gelaran Profesor Emeritus!

“Perkara sama juga terjadi di UPNM apabila Competent difahamkan bahawa bekas NC memberikan kepada dirinya sendiri gelaran Profesor Ikhtisas, satu gelaran baru diadakan, sebelum beliau bersara daripada jawatan NC baru-baru ini.

“Beliau juga telah sewenang-wenangnya melantik ramai profesor madya dan profesor kontrak sehingga membazirkan lebih 60% bajet tahunan universiti!

“Competent turut menggesa supaya penggunaan merit juga diterapkan dengan lebih berkesan lagi dalam kemasukan pelajar ke dalam universiti awam,” kata beliau.

Jelasnya lagi, walaupun sistem kuota universiti telah lama ditinggalkan, pelajar bumiputera dan bukan bumiputera dipisahkan oleh laluan pra-universiti yang mereka perlu tempuhi.

“Pelajar bumiputera kebanyakkannya melalui sistem matrikulasi manakala pelajar bukan bumiputera pula majoritinya mengambil STPM yang silibusnya dikatakan lebih susah.

“Hasilnya, pelajar bukan bumiputera amat sedikit bilangannya di dalam universiti awam.

“Jikalau pelajar bumiputera sentiasa dilindungi daripada persaingan di dalam universiti, bagaimanakah pula nasib mereka apabila mereka terpaksa bersaing di dalam pasaran kerja?

“Adalah tidak mengejutkan apabila graduan bumiputera dilaporkan mempunyai kadar pengangguran lebih tinggi berbanding graduan bukan bumiputera,” katanya.

Ujar beliau, Competent akhirnya berpandangan bahawa persaingan mengejar merit di dalam universiti akan menghasilkan graduan yang sentiasa memperbaiki mutu hasil kerja mereka.

Jikalau merit tidak diberikan penekanan dalam budaya kerja, maka budaya mengampu pula yang akan menggantikannya, katanya.

CATEGORIES