Malaysia Dateline

Kembalikan PH di Putrajaya untuk kembalikan nama baik Malaysia di mata dunia

Rakyat negara ini diseru memberikan semula kuasa pemerintahan kepada Pakatan Harapan kerana dengan cara itulah negara ini boleh diselamatkan dari terus hilang keyakinan oleh masyarakat antarabangsa.

Seruan itu dibuat oleh para pemimpin Pakatan Harapan yang berkumpul dalam majlis Makan Malam Amal yang dianjurkan oleh AMANAH malam tadi untuk mengumpulkan dana pilihan raya menjelang pilihan raya umum ke 15 (PRU-15).

Dr Mujahid melayan tetamu yang hadir di majlis makan malam amal anjuran AMANAH di Shah Alam malam tadi. – Foto WAN ZAHARI SALLEH

Mereka penuh yakin, jika PH berjaya mengekalkan pemerintahan selama satu penggal sahaja dan tidak dihentikan melalui Langkah Sheraton, rakyat negara ini tidak akan berbelah bahagi lagi keyakinan mereka terhadap PH.

“Lihatlah di Selangor dan Pulau Pinang. Selepas berjaya memerintah satu penggal selepas pilihan raya 2008, rakyat kedua-dua negeri itu kekal dengan PH sehingga kini,” kata Mohamad Sabu, Presiden AMANAH yang menjadi tuan rumah malam tadi.

Ahli Parlimen Kota Raja itu mensasarkan agar PH mendapat lebih 122 kerusi dalam PRU-15 akan datang ketika pelbagai pihak berkeyakinan ia akan diadakan seawal hujung tahun ini.

Mohamad Sabu melayan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke yang turut hadir memberikan kata-kata semangat. Foto WAN ZAHARI SALLEH.

Bagi beliau, dengan PH kembali memerintah di Putrajaya, ia akan mengembalikan maruah Malaysia di mata dunia yang kini jatuh merudum.

“Lihatlah siapa yang menjadi buah mulut masyarakat antarabangsa sekarang… Jokowi (Presiden Indonesia) dan Vietnam yang ekonominya mencanak naik,” kata Mohamad dalam majlis itu yang penuh yakin jika BN kembali berkuasa penuh perangai lama Umno akan menguasai cara negara ini ditadbir yang penuh dengan korupsi.

BN jatuh dalam PRU-14 lalu selepas skandal 1MDB yang menyebabkan nama Malaysia dikenali sebagai negara Kleptokrasi atau negara yang dikuasai oleh perompak dan penyamun.

Malam tadi, pihak penganjur berjaya mengutip lebih RM300,000 yang disasarkan dalam bentuk jualan meja sempena makan malam itu.

“Kalau kita boleh buat tiap-tiap minggu dan kehadiran macam ini, kita tidak akan kekurangan dana lagi,” kata Pengerusi AMANAH Selangor, Izham Hashim berseloroh ketika berucap dalam majlis malam tadi.

Antara gambar yang dilelong untuk mendapatkan dana pilihan raya AMANAH malam tadi. Foto WAN ZAHARI SALLEH.

Selepas Mohamad Sabu berucap, majlis lelongan amal pula diadakan untuk mengumpulkan dana.

Ia berupa gambar-gambar menarik aksi pimpinan AMANAH yang dicetak dan dibingkaikan.

Menurut Pengarah Makan Malam ini, Azli Yusof, hampir RM100,000 berjaya dikumpulkan dalam majlis lelongan ini dan menjadikan kutipan malam tadi mencecah hampir RM400,000.