Malaysia Dateline

Kembalikan semula hak dan kuasa tanah Felda, gesa Belia Felda

Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) bersetuju dan menyokong penuh usaha Felda dalam memastikan tanah yang hampir tergadai dalam projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC) dikembalikan hak dan kuasa kepada Felda semula.

Presidennya Muhammad Fadzli Hasan berkata tanah berkenaan adalah aset Felda yang perlu dipelihara dan dipertahankan serta perlu dikembalikan dengan apa cara sekalipun.

“MBFM terkesan dengan muka depan Berita Harian semalam mengenai hak tanah Felda bertajuk: ‘Felda Hilang Hak Milik Tanah Jalan Semarak’ dan kesal bagaimana perkara seperti ini boleh berlaku.

“Generasi baharu dan warga Felda seluruhnya merasa kecewa dengan urus tadbir yang lemah ini. Kami percaya bahawa Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) juga sedih dan kecewa apabila perkara ini berlaku,” katanya dalam
kenyataan, di Johor Bahru hari ini.

Muhammad Fadzli berkata MBFM menyambut baik dan menyokong tiga langkah yang telah diambil oleh pihak Felda dalam menangani kes itu iaitu mendaftarkan kaveat ke atas tanah tersebut, membuat laporan polis serta audit penuh ke atas segala hal yang berkaitan penjanjian dan penjualan tanah tersebut.

Beliau berkata MBFM berharap perkara tersebut diambil perhatian serius dan mendesak supaya siasatan segera dilakukan untuk membawa mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.

Katanya MBFM akan turut memberi kerjasama penuh jika diperlukan kerana tidak akan sesekali berkompromi dengan tindakan pecah amanah dan salah guna kuasa.

Menerusi pendedahan media, Felda dilaporkan berisiko kehilangan hak terhadap tanah yang terletak di kawasan strategik di Jalan Semarak, Kuala Lumpur, susulan urusan pindah milik tanah yang dicurigai.

Tanah itu kini dimajukan dengan projek KLVC membabitkan tujuh menara termasuk menara ikonik Felda dikenali sebagai KLVC Tower1A.

Semalam, Pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Abdul Samad dilaporkan berkata Felda bersedia mengambil segala bentuk tindakan bagi mendapatkan semula hak ke atas tanahnya yang dianggarkan bernilai RM270 juta tersebut.

Shahrir turut dilaporkan berkata selain laporan polis yang dibuat pada 12 Dis lepas, tindakan lain yang diambil ialah mendaftarkan kaveat ke atas tanah tersebut, membatalkan surat kuasa wakil penuh yang dikeluarkan dan mengambil tindakan sivil terhadap pihak yang terlibat.