Kembalikan semula kegemilangan hoki di Negeri Sembilan

Kembalikan semula kegemilangan hoki di Negeri Sembilan

Usaha perlu dibuat untuk mengembalikan semula kegemilangan sukan hoki di Negeri Sembilan, kata Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Belia dan Sukan negeri Mohamad Taufek Abd Ghani.

Untuk itu, beliau menyarankan Persatuan Hoki Negeri Sembilan (PHNS) harus mengambil pendekatan berkesan merangka program pembangunan melahirkan lebih ramai pemain pelapis bagi mengembalikan semula kegemilangan sukan hoki di negeri ini seperti yang pernah dicapai suatu ketika duhulu.

“Pada era 60-an dan 70-an, Negeri Sembilan lahirkan ramai pemain hebat mewakili negeri dan negara seperti Lawrence van Huizen, William Fidelis, Satwant Singh Dhaliwal, N. Palanisamy, Brian Sta Maria, Michael Yan, Kevin Nunis, C. Thavanayagam, M. Joseph dan Peter van Huizen. Malah, Negeri Sembilan adalah di antara pasukan yang digeruni di negara ini pada ketika itu.

“Oleh itu, saya mahu PHNS terus bekerja keras mengembalikan kegemilangan sukan hoki di negeri ini. Program pembangunan jangka pendek dan panjang hendaklah disusun dan diperkemaskan,” katanya kepada Bernama pada majlis penyampian Anugerah ‘Hall of Fame’ (Jasa Mu Dikenang) PHNS kepada bekas pemain negeri di sini hari ini.

Mohamad Taufek berkata, PHNS harus memberi fokus dalam usaha memperkasakan lagi sukan hoki di negeri ini dan kerajaan negeri sedia membantu bagi merealisasikan sasaran tersebut.

“Tumpuan harus diberi kepada program pembangunan akar umbi dalam usaha melahirkan lebih ramai bakat baharu untuk meneruskan kecemerlangan sukan itu” katanya.???????

Sementara itu, pengurus pasukan hoki negara Stephen Van Huizen adalah di antara 10 bekas pemain dan pegawai pentadbir yang menerima Anugerah ‘Hall of Fame’ PHNS.???????

Sembilan yang lain ialah G. Paramasivam, Ashwin Kumar Patel, Halimaton Yaacob, Choudhury Sukhendu, S.K. Paul, C. Thavanayagam, Kevin Nunis, Roslan Mohamad dan Datuk Dr. R.L. Annandan.

Setiausaha Kehormat PHNS, Tamil Selvam berkata ini adalah tahun keempat berturut-turut PHNS memberi penghormatan kepada individu yang menjadi tulang belakang sukan hoki di negeri ini selepas kali pertama diadakan pada tahun 2015.

“Ini adalah salah satu cara kami mengingati dan memberi penghormatan kepada individu yang banyak menyumbang terhadap sukan hoki negeri dan negara,” katanya.???????

Pada majlis itu, PHNS turut memberi insentif RM500 setiap seorang kepada empat pemain hoki negara iaitu pemain senior S. Kumar dan Mohd Marhan Abd Jalil serta pemain junior Che Shahrul Azmi Che Saupi dan Muhammad Hafiz Muhammad Azahari.

— BERNAMA