Adun Durian Tunggal, Datuk Mohd Sofi Wahab mencadangkan agar Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengembalikan semula program siaran pendidikan secara percuma di televisyen-televisyen seperti yang pernah dilaksanakan dahulu pada era 80 dan 90 an.
Beliau berkata, walaupun langkah berkenaan agak terkebelakang, namun ia dilihat sebagai alternatif terbaik menangani permasalahan ibu bapa yang mengalami kesukaran menyediakan peralatan telefon dan komputer riba di rumah.
Menurutnya, program pendidikan di televisyen juga dapat menjadi penyelesaian masalah kepada beberapa kawasan yang sukar mendapatkan akses rangkaian internet.
“Ini sebagai alternatif kepada pembelajaran atas talian terutama keluarga yang tidak berkeupayaan untuk menyediakan peralatan telefon, komputer riba dan memasang internet di rumah.
“Saya yakin ramai dalam kalangan rakyat kita di rumah ada televisyen dan boleh dijadikan medium pembelajaran sekiranya program TV pendidikan dilaksanakan semula.
“Walaupun mungkin TV pendidikan ini agak terkebelakang dan pernah digunakan satu masa dulu, tapi sedikit sebanyak ianya dapat membantu anak-anak ini mendapatkan ilmu,” katanya kepada Malaysia Dateline hari ini.
Susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dua minggu lalu, murid sekolah dan pelajar Universiti masih lagi diarahkan untuk meneruskan pembelajaran atas talian di rumah masing-masing.
Perkara ini menimbulkan keresahan dan rungutan banyak pihak terutama keluarga B40 yang bukan sahaja meluahkan kesukaran membeli data Internet, bahkan membeli barangan makanan juga tidak mampu.
Hal ini antara yang pernah dikongsi ibu bapa kerana ia sering menjadi cabaran terutama berhubung ‘jurang digital’ iaitu jurang antara mereka yang mempunyai akses kepada komputer dan internet, dan mereka yang mempunyai akses terhad atau tiada akses sama sekali.
Sementara itu, Mohd Sofi yang juga Timbalan Pengerusi AMANAH Negeri Melaka itu berkata, kementerian boleh mempertimbangkan untuk mengeluarkan jadual pembelajaran mengikut tahun pelajar dan diasingkan dari sekolah rendah dan sekolah menengah.
“Kementerian perlu pertimbangkan untuk wujudkan semula program ini secara agresif bagi membantu pelajaran anak-anak kita,” tegasnya.