Kembalinya ibu mertuaku

Oleh Oleh MUHAIMIN SULAM

Ibu mertuaku mahu meninggal dunia di pondok Pasir Tumboh, Kelantan. Negeri tempat dia menumpang sejak 1992. Mungkin kerana mahu bersemadi bersama arwah suaminya yang meninggal sepuloh tahun lalu.

Sejak dua puloh tahun lalu, ibu mertuaku simpan kain telekong dan kafannya sendiri. ‘Kain kafan apabila saya menjadi jenazah’. Tulisnya dengan tulisan Jawi pada sekeping kertas.
Ditulis nama dan nombor telefon orang yang menguruskan sekiranya tiba waktunya. Disiapkan wang bagi mengurus jenazahnya dan disimpan dalam sampul di bawah tikar biliknya.

Namun ibu mertuaku menghembus nafas terakhirnya di Dungun, tempat dia dan arwah suaminya membesarkan sepuluh anak mereka.

Pada Asar 13 Ramadan, ibu mertuaku minta mandi dan wudu’. Selepas itu dia kembali berbaring menghadap kiblat seperti rutinnya. Meski uzur, selain membaca al Quran, ibu mertuaku membaca buku-buku agama dan berwirid. Semangat membacanya memang hebat.

Tidak lama kemudian, nafasnya mula perlahan dan ditarik dalam-dalam dari perutnya. Matanya sudah pejam. Mulutnya terkunci. Yang kami mampu hanya berdoa dan membaca al Quran. Kita merancang tetapi Tuhan Maha Berkuasa jua sebaik-baik perancang. Malaikat Izrail menarik nafas terakhirnya kira-kira 8.20 malam. Tamatlah riwayat ibu mertua kami.

Ibu mertuaku adalah anak Haji Awang (Awang Kecik), kerani pejabat setiausaha kerajaan Terengganu dengan Hajjah Che Chik, seorang suri rumah sepenuh masa. Hajjah Che Cik (Tok Bek) adalah anak hasil perkahwinan antara Khatib Ahmad dengan Mariam binti Dato Balai Che Umat. Khatib Ahmad, pedagang Bugis yang dilantik menjadi imam Masjid Putih oleh Sultan Zainal Abidin III (1881 – 1918).

Manakala ibu kepada Mariam ialah Wan Kalthum iaitu anak kepada mufti pertama Terengganu, Sheikh Wan Abdul Kadir atau lebih dikenali sebagai Tok Syeikh Bukit Bayas (1864 m) yang berasal dari Patani. Syeikh Bukit Bayas adalah antara ulama tersohor di Terengganu pada kurun 19 yang pernah menjadi guru kepada Sultan Omar, sultan Terengganu (1839 – 1876).

Keranda yang dibuat untuk ibu mertua ku.

Ibu mertuaku berpindah dari Ladang ke Dungun sebelum Perang Dunia Kedua. Di Dungunlah tempat mertuaku mencari rezeki dan meraih pahit manis kehidupan. Bapa mertuaku berasal dari Cabang Tiga, Patani.

Di Dungun bapa mertua bekerja sebagai kelasi dengan syarikat Steveco, Nibong. Syarikat Inggeris itu mengurus pengangkutan bijih besi di Bukit Besi ke Sura. Sejak muda lagi bapa mertua bekerja sebagai ‘sailorman’ dengan syarikat pengangkutan beras dan garam dari Patani ke Kuala Terengganu. Dari situlah ibu mertuaku bertemu jodoh dengannya.

Haji Muhamad, abang mak mertuaku bekerja kerani kerajaan di Dungun. Kerja sebagai kerani di zaman kolonial bukan calang-calang kerjaya orang tempatan. Dari Haji Muhamad, bapa mertuaku mendapat kerja dengan syarikat kolonial itu.

Haji Muhamad disediakan sebuah rumah besar oleh kerajaan. Di rumah besar itulah, bapa mertua menumpang tinggal sementara sebelum membuat keputusan untuk terus menetap di Dungun.

Awalnya mereka menyewa rumah di Teluk Lipat sebelum meneroka tanah seluas dua ekar dan membina rumah di Sura Gate. Di Teluk Lipat, sering juga bapa mertua ke laut mencandat sotong dan mencari ikan buat lauk. Rumahnya kecil diperbuat daripada kayu dan buluh yang dibina secara gotong-royong kawan-kawan kampong. Tuan rumah perlu menyediakan jamuan ala kadar.

Pada penghujung 40an kerajaan mengambil alih tanah mereka di Sura Gate untuk pembangunan. Kerajaan memberi ganti rugi dengan mengurniakan tanah lot di Kampong Molek. Dari tanah tersebutlah mereka membina rumah yang agak lebih selesa dengan sedikit halaman.

Rumah mereka berhadapan dengan landasan keretapi. Setiap hari, keretapi akan melalui halaman rumah. Setiap kali keretapi melintas, pemandu keretapi membalas lambaian orang kampong yang teruja dengan jentera moden itu.

Pemandu keretapi membenarkan orang kampong menumpang gerabak tanpa sebarang bayaran. Ada yang turun di kampong Che Lijah dan ada yang berjalan-jalan ke Bukit Besi. Keretapi itu juga digunakan untuk mengangkut hasil pertanian kampong ke pekan Dungun.

Jika orang kampong inginkan kayu untuk memasak, pemandu keretapi itu akan bermurah hati mencampakkan beberapa batang kayu kepada kanak-kanak yang mencari kayu kering sambil bermain bersama kawan mereka. Lalu berlarian mereka mengutipnya keriangan.

Begitulah cara syarikat Inggeris membuat corporate social responsibility (CSR). Namun bagi orang tempatan itulah kemurahan dan kemuliaan syarikat kepada mereka. Balak dan bijih besi mentah diproses di Singapura atau di tempat lain. Dungun adalah tempat kapal luar mengangkut khazanah Terengganu.

Di Dungun, longgokan tanah dan batuan merah yang mempunyai kandungan besi dilonggok secara terbuka. Semua jentera paling berteknologi terkini berada di sini. Kemajuan dan pembangunan memang wujud di depan mata mereka. Orang kampong tetap miskin. Namun kemiskinan itu bukannya penderitaan. Ada kebahagian di celah-celah kemiskinan itu. Itulah kepasrahan.

Setelah perlombongan ditutup pada 1971, mertuaku menyara kehidupan berkeluarga dengan menjual jeruk buah dari Dungun hingga ke Kuala Abang. Berbekal dengan motorsikal, bapa mertua singgah dari satu kedai ke satu kedai menjual barang dagangannya. Sambil itu menjual ais krim dan ais batu di rumah sampai lekat hujung nama anak-anaknya dengan ‘ais krim’. Begitulah orang Melayu merangsang bangsanya berniaga.

Di Dungun, mereka sentiasa ke surau Haji Bidin (Tuan Guru Haji Zainal Abidin), surau Ustaz Omar Syukri, surau Ustaz Daud, surau Kubur dan di mana ada pengajian oleh guru-guru agama termasuk ceramah politik. Kelibat mereka sudah dikenali oleh orang tempatan. Bagai belangkas ke hulu ke hilir mengaji di usia emas. Bermotor tanpa topi keledar.

Setelah kudrat berkurangan, mereka berhijrah ke Pondok Pasir Tumboh. Katanya mudah mengaji. Setiap kami ziarah mereka di Kota Bharu, pasti saya bawa mereka ke masjid Tok Guru di Pulau Melaka dan kuliah Jumaat Tok Guru di Pejabat Pas.

Pihak pondok Pasir Tumboh menyediakan peti pembesar suara ke rumah yang menyiarkan pengajian yang sedang berlangsung. Ketika uzur dan tidak berdaya ke masjid, ibu mertua tekun mendengar pengajian di biliknya. Itulah rutinnya sebelum pulang ke Dungun.

Suatu hari kami dari Perak ke Kota Bharu terus ke tempat program. Ini bukan program pengajian atau ceramah politik. Ini Konsert Mawi, juara Akademi Fantasia di Padang Perdana, Kota Bharu.

Selepas program konsert tamat, baru saya dan keluarga ke rumah mertua di Pasir Tumboh. Mereka belum tidur lagi. Mereka baru sahaja balik dari menghadiri konsert dengan menaiki motorsikal berdua!

Mereka pergi ke konsert tersebut sebab Tok Guru yang buat. Tok Guru hadir. Tok Guru Nik Aziz tentu ada hujahnya. Tiada pernah untuk mempersoalkannya. Tok Guru seorang ulama.

Tanah perkuburan tempat ibu mertuaku disemadikan.

Malam berikutnya konsert Mawi dengan sifu M. Nasir berlangsung di Stadium Sultan Muhamad IV. Ramai yang memenuhi stadium itu. Kali ini kami pergi sekali. Tiada lagi pidato berapi tentang politik. Malam itu berdendang lagu keindahan alam, cinta dan ketuhanan.

Kami duduk bersama di kerusi umum sambil menikmati lagu ‘Aduh Saliha’, ‘Kepadamu Kekasih’, ‘Lagu Jiwa Lagu Cinta’, ‘Gadis Melayu’, ‘Seroja’ dan banyak lagu yang tidak pernah ibu mertuaku tahu. Mawi menari, M. Nasir menyanyi depan Tok Guru.

Ibu mertuaku sering bercerita mengenai perjuangan politiknya. Pasal kehebatan Khatijah Sidik, Datuk Asri Hj Muda berpidato. Cerita pasal isteri Cikgu Mustafa Ali, orang Dungun.

Sempat bercerita mengenai Ustaz Abdul Wahab Yunus, Ketua Pemuda Pas Pusat yang menjadi ahli parlimen Dungun dua penggal. Pernah kami ziarah ke rumah pimpinan Pas itu di Jalan Berek Kastam. Rumah kayunya cukup sederhana walaupun pernah menjadi Setiausaha Parlimen, Kementerian Kewangan Malaysia. Rumahnya tidak jauh dari rumah ibu mertuaku.

Tanyalah pasal zaman Pas dulu-dulu. Pasti ghairah dia bercerita. Pasal sejarah ke program Pas di Perlis berkereta. Bermalam di rumah kawan di Padang Rengas. Tidak sempat untuk dirakam memoirnya.

Apabila Tok Guru Nik Aziz wafat, ibu mertua melahirkan resahnya tentang kepimpinan parti yang mulai goyah. Tidak seperti semasa Tok Guru Nik Aziz ada. Ibu mertuaku merelakan kami beralih perjuangan daripada Pas ke Amanah. Namun dia tetap di situ hinggalah detik nafasnya berakhir.

Pada kesempatan ini, ucapan terima kasih kami berikan kepada Haji Adnan dari Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Dungun, Haji Zulkifli Ali, Ketua Amanah Dungun, Haji Abdul Rahman bin Yusuf, Ketua PKR Cabang Dungun yang juga merupakan anak saudaranya, YB Cikgu Alias Harun, Adun Rantau Abang, YB Ustaz Wan Hasan Ramli, ahli parlimen Dungun dan semua yang turut hadir dan mendoakan kesejahteraan dunia akhirat kepada ibu mertuaku, Hajjah Ramlah binti Haji Awang (1930 – 2021).

Al Fatihah.