Malaysia Dateline

Kemelut negara: Penjawat awam dilarang hadiri himpunan politik

Kesatuan Pekerja-Pekerja di dalam Perkhidmatan Awam Malaysia (Cuepecs) menyeru supaya seluruh penjawat awam di Malaysia ini mengekalkan pendirian apolitical dan berkecuali, susulan dengan polemik politik negara yang memasuki hari keempat ini.

Presidennya, Adnan Mat, menegaskan bahawa semua penjawat awam dilarang sama sekali daripada menghadiri atau terlibat dalam apa-apa perhimpunan berkaitan politik.

Katanya, ini termasuk membuat apa-apa penyataan awam, mengedarkan atau menularkan berita palsu di media sosial atau apa-apa medium komunikasi yang lain atau melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan kehendak dan ketetapan undang-undang dan dasar Kerajaan yang berkuatkuasa.

“Penjawat awam perlu terus menjunjung dan mempertahankan taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong dengan melaksanakan tugas sepertimana yang telah dipertanggungjawabkan.

“Cuepecs juga memohon semua penjawat awam agar bertenang serta bersabar dan memberi fokus sepenuhnya dengan meneruskan tugas-tugas mengikut undang-undang dan dasar Kerajaan yang berkuatkuasa.

“Ini demi memastikan semua sistem penyampaian kerajaan terus berjalan lancar dan rakyat seharusnya mendapat perkhidmatan yang berkualiti seperti sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Adnan berkata, perkhidmatan yang berkualiti kepada rakyat perlu diteruskan walaupun dalam situasi negara yang tiada kerajaan.

Pada masa yang sama, Cuepacs turut mengambil pendirian berdiri teguh dan menyokong sepenuhnya sebarang langkah yang diambil oleh Perdana Menteri interim, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk membentuk sebuah kerajaan yang kukuh demi memastikan kesejahteraan serta keharmonian rakyat dan negara.

Katanya, Cuepacs dan penjawat awam sentiasa bersama dengan kerajaan yang akan terbentuk kelak untuk terus memaju negara ke arah yang lebih cemerlang dan seterusnya memberi perkhidmatan yang sangat berkesan dan berkualiti kepada rakyat dan negara.