Kemelut pelantikan Speaker Dun Kedah dijangka selesai esok

Kemelut pelantikan Speaker Dun Kedah dijangka selesai esok

Pemerhati politik yakin kebuntuan dalam pelantikan Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun) Kedah selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 9 Mei lepas akan selesai esok iaitu pada hari pertama persidangan Dun berlangsung.

Rakyat Kedah yang ditemui juga sesungguhnya mengharapkan isu itu selesai dan tidak mengheret kepada keadaan yang lebih rumit lagi termasuk perlu diadakan Pilihan Raya Negeri (PRN).

Pemerhati politik berpendapat kerajaan negeri pimpinan Pakatan Harapan (PH) akan mendapat sokongan daripada tiga ‘’kingmaker´ di Dun iaitu Adun Barisan Nasional (BN) Datuk Dr Ku Abdul Rahman Ku Ismail (Guar Chempedak), Datuk Norsabrina Mohd Noor (Bandar Baharu) dan Datuk Suraya Yaacob (Sungai Tiang).

Dengan sokongan tiga Adun Umno itu, kerajaan negeri akan memperoleh 21 undi berbanding Pas, 15 undi. PH mempunyai 18 kerusi manakala Pas 15 dan BN tiga.

Selain itu, mengikut sumber, bekas Anggota Parlimen Kuala Kedah daripada PKR Datuk Ahmad Kassim dijangka dicalonkan bagi jawatan itu manakala ADUN Ayer Hangat, Juhari Bulat sebagai timbalan speaker.

Namun begitu sokongan Adun BN belum tentu dijelmakan Rabu ini susulan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelumnya, mengumumkan parti itu belum mempunyai pendirian rasmi berhubung isu tersebut dan terpulang kepada kebijaksanaan UMNO Kedah di bawah pengerusinya Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Usaha Pas untuk memecahkan kebuntuan itu sebelum ini dengan mencadangkan calon speaker bukan daripada kalangan Adun tidak dapat diterima Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir atas alasan sekiranya calon itu diterima, maka bilangan pembangkang dalam dewan mungkin akan menjadi 19, berbanding 18 di pihak kerajaan.

Seorang veteran Umno yang enggan namanya disiarkan memberitahu Bernama mustahil ADUN BN boleh bersama Pas untuk memilih speaker yang disokong blok pembangkang di Dun itu.

“Pas dengan sombong telah membuat pelbagai kenyataan yang menghentam Umno selepas PRU baru-baru ini dan jelas dalam isu ini UMNO bukan pak turut kepada Pas,” katanya.

Beliau turut menolak sama sekali Pilihan Raya Negeri (PRN) akan diadakan berikutan kekusutan itu kerana selain membabitkan kos yang tinggi, semua pihak sebenarnya sudah terlalu letih dengan PRU untuk diadakan PRN.

Rakyat tentu marah jika PRN diadakan dan rakyat sendiri pun mahu agar pelantikan speaker dapat diuruskan dengan baik tanpa berlakunya keadaan yang merumitkan lagi situasi sedia ada.

Bagi Muhamad Mat Yakin, pemerhati politik daripada Universiti Utara Malaysia (UUM), “Ketiga-tiga wakil BN adalah watak paling penting pada Rabu ini. Sekiranya mereka tidak memberikan sokongan kepada mana-mana parti sekali pun, jika mereka mendiamkan diri untuk berkecuali, keadaan akan berpihak kepada kerajaan PH nanti,” katanya.

Felo Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi UUM itu berkata walaupun jalan terakhir adalah mengadakan PRN, namun yakin keadaan itu tidak akan berlaku.

“Parti politik sudah tentu lebih matang dalam memikirkan perkara ini dan apakah mereka mahu mempertaruhkan masa depan sendiri pada tangan pengundi daripada memikirkan bagaimana untuk memajukan negeri,” katanya.

Sementara itu, kerani swasta, Puteri Zaleha Abdullah, 37, yakin akan kebijaksanaan kerajaan negeri menguruskan situasi itu nanti dan berdoa keadaan tidak mengheret kepada PRN.

“Cukuplah berpolitik dan rakyat sememangnya letih selepas PRU dulu. Kini masa untuk membangunkan negeri dan biarlah kerajaan yang dipilih rakyat ini kembali berusaha membangunkan negeri daripada terbabit dalam keadaan yang tidak membantu apa-apa,” katanya.

Seorang petani di Padang Terap, Yahya Ithnin, 63, berkata beliau mendoakan kepada Allah SWT agar memakmurkan negeri ini dan tidak mahu keadaan yang lebih rumit berlaku terhadap negeri ini.

Katanya walaupun beliau seorang penyokong Pas, namun tetap tidak bersetuju jika diadakan PRN kerana berpendapat ia tidak menguntungkan sesiapa.

CATEGORIES