Malaysia Dateline

Kemelut pertukaran kerajaan: Kuasa muktamad di tangan Agong

Rata-rata ahli akademik berpendapat desas-desus kemungkinan bentuk kerajaan baharu akhirnya akan dimuktamadkan di pihak Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Utama Negara.

Prof Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin berkata, keputusan ekoran tindakan beberapa parti menganjurkan mesyuarat pensejajaran semula kuasa negara semalam dijangka akan diketahui hari ini.

“Yang di-Pertuan Agong akan beri keputusan yang dapat diterima semua pihak kerana Agong bersifat berkecuali.

“Itulah (kuasa Yang di-Pertuan Agong) masa depan negara dan menentukan ke mana kita akan pergi. Kata putus terserah kepada Yang di-Pertuan Agong,” jelasnya ketika ditemubual Astro Awani hari ini.

Peranan Yang di-Pertuan Agong dalam percaturan kuasa bentuk kerajaan baharu turut diakui Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi.

“Di sinilah pentingnya Yang di-Pertuan Agong untuk memastikan sebarang keputussan yang diambil memberikan keadilan kepada semua pihak,” tegasnya.