Malaysia Dateline

Kemelut politik Perak bagi untung pada rakyat

Kemelut politik Perak yang menyaksikan peletakan jawatan Ahmad Faizal Azumu daripada jawatan Menteri Besar, dengan penggantinya datang daripada Umno dilihat memberi keuntungan kepada rakyat negeri itu.

ADUN Pasir Pinji Howard Lee Chuan How berkata, buat pertama kali dalam sejarah negeri Perak, semua kawasan DUN mendapat peruntukan adil dan saksama tanpa mengira penyokong kerajaan ataupun pembangkang.

Peruntukan ini katanya hanya boleh digunakan untuk rakyat kawasan DUN masing-masing bagi program-program rakyat, dan bukan untuk poket wakil rakyat.

Bahkan katanya, kesemua 59 ADUN Perak daripada semua parti akan menduduki Jawatankuasa Tindakan Daerah, yang merupakan jawatankuasa paling berimpak tinggi dan berkuasa dalam perihal penyelesaian permasalahan setempat.

“Begitu juga keadaannya dengan jawatankuasa ‘focus group’ pembasmian Kemiskinan Daerah, dan Jawatankuasa pengurusan bencana Daerah,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Katanya, kerajaan negeri juga telah bersetuju untuk meminda perintah tetap DUN bagi tujuan membolehkan Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira wang negeri dilantik dari kalangan ADUN Pembangkang.

“Ini merupakan suatu langkah reformasi institusi yang membawa Negeri Perak satu lagi langkah kemajuan ke arah Demokrasi bertaraf dunia.

“Jawatan Ketua pembangkang Dewan Undangan Negeri juga diiktiraf secara rasmi dengan implikasi kewangan pejabat Ketua Pembangkang diperuntukkan dalam belanjawan 2021, dan juga bakal dimaktubkan dalam perintah tetap DUN,” katanya.

Katanya, ada beberapa lagi titik persamaan dasar dan peruntukkan yang telah dipersetujui antara Kerajaan dan pembangkang.

“Tetapi yang paling signifikan adalah reformasi institusi dalam bentuk 3 perkara utama ini.

“Rakyat Negeri Perak bakal menyaksikan segenap wakil rakyat Negeri berfungsi secara lebih effisyen menghadapi serta menyelesaikan permasalahan rakyat.

“Ia juga akan membuka ruang untuk perubahan dan evolusi kepada badan politik negeri secara amnya.

“Dengan penggemblengan dan penglibatan yang lebih luas oleh semua ADUN, besar kebarangkalian akan tergubal dan rungkainya dasar-dasar yang lebih progresif dan menguntungkan rakyat Perak.

“Kepada para penyokong Pakatan Harapan, jangan bimbang, semuanya dilaksanakan atas prinsip, kejujuran dan amanah. Kami sentiasa mendengar serta memahami kegusaran anda.

“Dalam iklim politik, ekonomi terkini yang dihantui kebuntuan, serta wabak Covid-19 di mana rakyat kian muak dengan telatah pemimpin kerajaan Perikatan Nasional, susah dengan penderitaan dan kesengsaraan, kami rela “kalah” buat seketika asalkan rakyat yang untung. Kami redha, kerana ia adalah kewajipan kami,” katanya.