Malaysia Dateline

Kemelut politik Sabah : Anwar usaha penyelesaian terbaik

Penyelesaian terhadap kemelut politik Sabah terletak di tangan pemimpin negeri itu sendiri, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata apa yang mampu beliau dan pemimpin lain lakukan hanyalah memberi nasihat bagi mencari jalan terhadap penyelesaian kemelut itu.

Katanya beliau bersama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi juga sedang berusaha mencari penyelesaian terbaik untuk melerai kekusutan politik di Sabah.

“Keadaan masa ini bertambah baik, saya dan (Ahmad) Zahid sedang mencari penyelasaian yang terbaik untuk Sabah, dan keputusannya diputuskan oleh pimpinan Sabah sendiri, kita hanya mampu beri nasihat,” katanya kepada pemberita di sini malam ini.

Terdahulu beliau bersama Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) mengadakan pertemuan dengan beberapa pemimpin Sabah termasuk Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin di sebuah hotel di sini.

Jumaat lepas, Bung Moktar mengumumkan pendirian UMNO dan BN Sabah untuk menarik sokongan terhadap Hajiji susulan hilang kepercayaan terhadap kedudukan beliau sebagai Ketua Menteri selain perjanjian antara BN dan Perikatan Nasional telah dilanggar.

Bagaimanapun pada Sabtu, lima wakil rakyat daripada BN menyatakan pendirian menyokong Hajiji dan merupakan antara 44 ADUN yang didakwa masih memberikan sokongan kepada beliau sebagai Ketua Menteri serta mengekalkan kerajaan negeri ketika ini.

DUN Sabah mempunyai 79 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk enam yang dilantik.

— BERNAMA

Baca juga : Apa kesudahan Hajiji di Sabah? Ini kronologi…