Kemenangan Adenan sukarkan Najib, kata Mahathir

Kemenangan Adenan sukarkan Najib, kata Mahathir

Kemenangan besar pasukan Tan Sri Adenan Satem dalam pilihanraya negeri Sarawak 7 Mei lalu bakal menggugat kewibawaan Najib sebagai ketua kerajaan pusat, kata bekas perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

“Kekuatan kerajaan Adenan bermakna kewibawaan Kerajaan Pusat sebaliknya akan tergugat,” kata beliau dalam kenyataan yang disiarkan blognya, chedet.cc.

Beliau bagaimanapun mengucapkan tahniah kepada Adenan Satem atas kemenangan besar pakatannya pada pilihan raya majlis perundangan negeri Sarawak. Bagi ketua menteri yang pertama kali memegang jawatan, ini adalah satu pencapaian yang memuaskan sekali. Tahniah juga kepada SUPP.

Najib katanya, tidak mempunyai sebab untuk berasa gembira. Apa yang dicapai oleh BN Sarawak akan melemahkan kuasa Kerajaan Pusat yang terajui oleh Najib. Beliau kini akan menjadi lebih bergantung kepada sokongan Sarawak daripada sebelum ini. Sudah pun kini, dia telah akur kepada semua tuntutan Sarawak.

Sepatutnya kata beliau, perlu ada keseimbangan dari segi kuasa antara pusat dan negeri. Ini akan memastikan kesalingbergantungan di antara kedua-duanya.

“Tetapi keadaan meruncing selepas Pilihan Raya Umum ke-13 di mana sokongan dari Sarawak dan Sabah menjadi sangat penting bagi Kerajaan Pusat.

“Ia hanya memerlukan kehilangan (dengan cara paling tadah) 12 atau 13 Ahli Parlimen untuk menjatuhkan Kerajaan Pusat,” katanya.

Menurutnya, pada masa kini lebih daripada masa-masa yang lain, Najib perlu melayan segala tuntutan Sarawak. Malah Najib telah pun melakukan demikian. Segala yang Sarawak meminta Sarawak akan dapat. Laungan Sarawak untuk rakyat Sarawak telah menjadi lebih lantang.

“Pergolakan ini turut diperhatikan oleh negeri-negeri lain dalam Persekutuan.

“Mereka juga lebih lantang dalam tuntutan mereka untuk autonomi,” katanya.

Sebaliknya kata beliau negeri-negeri yang lebih miskin dalam Persekutuan akan mengalami ketidakseimbangan layanan oleh pusat.

Beliau percaya ketika Adenan dan Sarawak meraikan kemenangan besar mereka, Najib terus dirundung bimbang kerana menjadi terlalu bergantung kepada negeri-negeri deposit tetap.

TAGS