Kemenangan Anwar ukir landskap politik baharu, kata Timbalan Menteri Luar

Kemenangan Anwar ukir landskap politik baharu, kata  Timbalan Menteri Luar

Kemenangan Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan majoriti besar dalam pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Port Dickson kelmarin telah memberi  wajah baharu dalam lanskap politik negara, kata Datuk Marzuki Yahya.

Timbalan Menteri Luar, itu berkata, kemenangan tersebut merupakan satu kemenangan yang amat dibanggakan kerana ia mampu mencorak bentuk kepimpinan yang lebih mantap bagi kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Datuk Seri Anwar Ibrahim amat dialu-alukan untuk bersama Tun Mahathir berganding bahu,keringat serta idea demi pembangunan negara ini.

“Kewibawaan dan kredibiliti yang ada padanya tidak dapat disangkal mampu untuk membawa wajah baru kepada lanskap politik negara kini.

“Dengan ketokohan yang dipunyai ia boleh digarap untuk terus maju ke hadapan bersama-sama membantu kabinet yang dipimpin oleh Perdana Menteri, ” ujar ketika ditemui semalan.

Beliau sebelum itu merasmikan Gelanggang Silat Lincah Cawangan Desa Murni di Tasek Gelugor.

Datuk Marzuki Yahya (kanan) menyampaikan penghargaan kepada Mahaguru Muda, Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia, Senator Datuk Megat Zulkarnain Omardin.

Sehubungan itu ujarnya, kepimpinan Bersatu Pulau Pinang turut sama menzahirkan kegembiraan yang teramat sangat atas kemenangan yang telah dicapai.

“Kemenangan beliau semalam mempunyai makna yang amat besar bagi Pulau Pinang kerana ia adalah anak negeri ini.

“Sejarah juga telah membuktikan dimana sahaja ia meletakkan dirinya, ia mampu memberi kredit yang amat besar sepertimana yang telah dibuktikan di Permatang Pauh sebelum ini,”ujarnya.

Antara peserta yang hadir pada majlis perasmian gelanggang seni silat lincah di Sungai Dua, Tasek Gelugor semalam.

Marzuki yang juga Setiausaha Agung Bersatu berkata, rentetan itu, dalam tempoh singkat kepimpinan PH sejak kemenangan dalam pilihan raya umum Mei yang lalu, banyak kelompongan mampu ditingkatkan dengan kehadiran Anwar.

“Kejayaan yang telah terhasil dalam PRK Port Dickson bukan saja mencambahkan lagi sokongan kepada beliau semata-mata, sebaliknya ia membuktikan dokongan pengundi kepada kerajaan PH sedia ada.

“Maka itu, langkah yang lebih teratur dan bersungguh-sungguh untuk memantapkan kerajaan PH pasti menjadi agenda utama yang diberi prioriti.

“PRK Port Dickson bukan saja membuktikan rakyat menolak Pas dan calon-calon Bebas, sebaliknya secara jelas mereka mempamirkan harapan mahukan Anwar dan PH terus menerajui kepimpinan negara, ” katanya lagi.

Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Mahaguru Muda Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia, Senator Datuk Zulkarnain Omardin.

9.0
OVERALL SCORE
: 9.0
Have no any user vote