Malaysia Dateline

“Kemenangan BN adalah kemenangan rakyat”

Keputusan yang memihak kepada calon MCA, Wee Jeck Seng sebagai Ahli Parlimen Tanjung Piai yang baharu, dirasakan sebagai satu kemenangan untuk rakyat.

Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Zahid Hamidi, berkata, kemenangan itu merupakan tanda bahawa rakyat menerima agenda penyatuan ummah melalui Muafakat Nasional yang dimeterai bersama Parti Islam terbesar iaitu Pas.

“Saya merasakan kemenangan ini kemenangan rakyat. Ia satu signal yang cukup jelas bahawa rakyat yang selama ini tidak diberi keutamaan mengikut janji-janji yang telah dilontarkan, memperlihatkan protesnya pada kerajaan yang ada sekarang ni.

“Maka, tentunya ia menjadi satu mercu tanda bahawa Muafakat Nasional dengan rakan-rakan yang ada dalam parti BN dan parti lain di Sabah Sarawak, memperlihatkan komitemen semua pihak yang mementingkan kejayaan,” katanya dalam sidang media di Pusat Penjumlahan Undi Dewan Jubli Intan, Pontian.

Mengulas perolehan undi majoriti sebanyak 15,086, Zahid berkata ia merupakan kejayaan di luar jangkaan mereka dan menerima sebagai satu keputusan yang dimuktamadkan oleh rakyat.

Malah katanya, kemenangan di kawasan Penghujung Benua Asia itu juga sebagai isyarat rakyat mula kembali kepada BN terutama pengundi Cina.

“Kemenangan majoriti ini adalah kejayaan di luar jangkaan kami. Tapi peningkatan (sokongan) tentunya datang dari pengundi Cina di mana 42 peratus pengundi di Tanjung Piai adalah masyarakat Cina.

“Ini merupakan satu bukti bahawa pengundi Cina telah kembali memberikan sokongan kepada BN dan tentunya ia adalah signal untuk rakan-rakan dalam parti komponen bahawa BN adalah parti relevan.

“Apatah lagi Pas dalam Muafakat Nasional yang lebih merelevankan lagi kerjasama antara parti dalam kumpulan parti politik pembangkang dalam negara,” katanya.