Kemenangan BN di Cameron Highlands tidak harus dipandang enteng, kata AMK P. Pinang

Kemenangan BN di Cameron Highlands tidak harus dipandang enteng, kata AMK P. Pinang

Kemenangan BN dalam pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands semalam tidak harus dipandang enteng.

Sebaliknya ia mesti dijadikan iktibar kenapa pengundi menolak calon Pakatan Harapan (PH) setelah berjaya menjadi kerajaan sejak Mei yang lalu.

Demikian dinyatakan oleh Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Negeri Pulau Pinang, Fahmi Zainol.

Jelas beliau lagi, tidak dapat dinafikan kemungkinan pengundi di kawasan Parlimen tersebut tidak mendapat akses yang sebenarnya mengenai kerajaan PH yang sedang menerajui kepimpinan kerajaan Pusat.

“Kemungkinan juga majoriti pengundi dalam kawasan tersebut tidak mendapat informasi terkini yang menunjukkan gerak kerja kerajaan PH.

“Malah masih terdapat dakwaan bahawa BN masih menjadi pemerintah di sesetengah tempat, walaupun hakikatnya kerajaan sudah berubah.

“Kesemua ini menjadi salah satu penyebab yang memungkinkan keputusan sedemikan diperolehi,” tegasnya lagi.

Menurut Fahmi lagi, banyak lagi faktor yang mempengaruhi keputusan yang telah dicapai sehinggakan PH kecundang dalam PRK kali ini.

Keputusan semalam memperlihatkan calon BN, Ramli Mohd Nor telah berjaya meraih sejumlah 12,038 undi.

Manakala calon PH, M.Manogaran mampu memperolehi sebanyak 8,800 undi.

Sementara itu dua lagi calon Bebas, Sallehudin Ab.Talib hanya mampu meraih sokongan berjumlah 314 undi.

Wong Seng Yee yang menggunakan lambang cangkul hanya berjaya mendapat sebanyak 276 undi sahaja.

Keputusan tersebut juga menyaksikan calon BN menang dengan majoriti sebanyak 3,238 undi.