Malaysia Dateline

Hazmi Hassan 2

Kemenangan bukan lesen besar untuk bermaharajalela, kata Hazmi Hassan

Ketua Pemuda AMANAH Kelantan Hazmi Hassan menyifatkan kemenanganya pada pemilihan 3 Ogos di Konvensyen Pemuda AMANAH Kelantan baru-baru ini bukanlah lesen besar untuk bermaharajalela bahkan kemenangan itu merupakan dugaan dan tanggungjawab khsusnya bagi saf kepimpinan pemuda.

Katanya, menang atau kalah pemuda harus berkhidmat dengan ikhlas dan yakin setiap pekerjaan dan perkhidmatan yang dilakukan, akan membuahkan hasil yang terbaik untuk semua.

“Saya tak suka bercerita tentang masa lalu. Bukanlah banyak jasa yang boleh dibanggakan. Tapi saya rasa wajar untuk dikongsi. Sekurang-kurangnya boleh dijadikan pengajaran untuk mengorak langkah kehadapan.

“Perjuangan saya bermula dalam NGO. Kerja advokasi dan aktivisme sosial dan politik merupakan minat saya sejak mula-mula terlibat beberapa tahun kebelakangan.

“Saya tidak pernah bercita-cita untuk menjadi pemimpin politik. Semuanya berlaku secara alami tanpa diminta. Ianya lebih kepada desakan semasa dan keperluan Parti AMANAH yang baru bertatih khususnya di Kelantan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menggalas tugas ini atas kesedaran perjuangan perlu diteruskan walaupun hanya mempunyai 10 orang penyokong.

“Kami menjadi kumpulan kecil yang saban hari dikutuk dan diremehkan. Kesabaran, keberanian dan kekuatan jiwalah yang menjadikan kita mampu bertahan sehingga hari ini,” ujarnya.

Justeru katanya, seluruh ahli Pemuda AMANAH Kelantan dan penyokongnya bersama Pakatan Harapan hendaklah terus bekerja membuktikan bahawa Pakatan Harapan akan terus menjadi pilihan rakyat Malaysia.

“Di tangan pemudalah segala tanggunjawab dan amanah tergalas di bahu setiap ahlinya, hari ini kita harus berhadapan dengan rakyat sebagai wakil Kerajaan Pusat yang sentiasa menjadi penghubung antara rakyat dengan Kerajaan Persekutuan.

“Saya menasihati seluruh Pemuda AMANAH negeri untuk menjadi pelayan kepada rakyat tidak kira siapa pun mereka, dampingi mereka dan santuni mereka dengan berhemah seperti mana slogan yang menjadi dasar kita Islam rahmat untuk semua, kita jadikan Islam dipandang mulia dan dilihat Islam agama yang ramah tamah bukan marah-marah,” tegas beliau.