Kemenangan di Rantau bukti ramai silap pilih, anak muda bangkit, kata Najib

Kemenangan di Rantau bukti ramai silap pilih, anak muda bangkit, kata Najib

Datuk Seri Mohd Najib Razak menyifatkan kemenangan Barisan Nasional (BN) di Rantau membuktikan ramai yang tersalah pilih pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.

Pada masa sama, bekas Pengerusi BN itu melihat faktor anak muda menyumbang kepada kebangkitan parti itu.

“Syukur atas kemenangan ini. Terima kasih pada rakyat, pengundi, jentera BN, komponen parti dan Friends of BN, dan Pas.

“Sambutan orang muda hangat. Ia menunjukkan PRU14 lalu, sudah ada ground shift yang agak besar di kalangan semua peringkat terutama orang muda, yang ramai kata mereka telah tersilap pilih waktu pilihan raya lalu,” katanya kepada media selepas pengumuman kemenangan calon BN, Datuk Seri Mohamad Hasan di Pusat Penjumlahan Undi Rasmi PRK Dun Rantau pada Sabtu seperti dipetik Astorawani.

Malah katanya, beliau sering menerima respon anak muda yang mengakui keputusan dibuat sebelum ini adalah salah.

“Waktu kempen di Rantau ada yang bisik, mereka kata mereka telah buat keputusan salah dulu dan kali ni mereka nak sokong BN. Ini menunjukkan bahawa segala usaha kita, kekecewaan mereka terhadap janji PH yang telah dimungkiri,” ujarnya lagi.

Pada Sabtu, Barisan Nasional (BN) berjaya mengekalkan kemenangan di kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Rantau selepas calonnya, Datuk Seri Mohamad Hasan berjaya memperoleh majoriti 4,510 undi.