Kemenangan PH di Sandakan petunjuk momentum kerajaan yang positif

Kemenangan PH di Sandakan petunjuk momentum kerajaan yang positif

Kemenangan kerajaan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sandakan menunjukkan momentum kerajaan yang sedang berada betul di landasannya sekaligus membuktikan politik perkauman yang dibawa Umno-Pas tidak diterima di negeri itu.

Penganalisis politik, Dr Mazlan Ali berkata, kemenangan PH selepas tiga kali kemenangan berturut di kerusi yang dikuasai Barisan Nasional (BN), membuktikan bahawa rakyat percaya dengan usaha kerajaan yang komited menyediakan inisiatif-inisiatif yang bermanfaat untuk masyarakat di Sabah.

Katanya, rakyat telah melihat sendiri usaha para pemimpin yang turun padang bersama rakyat disamping pengumuman tentang inisiatif yang diumumkan oleh Perdana Menteri ketika Perutusan Perdana Setahun Malaysia Baharu, baru-baru ini.

“Mungkin sebelum ini faktor kekalahan PH kerana masyarakat menganggap PH tidak menunaikan janji dan tak buat manifesto, tetapi dalam beberapa bulan ini nampak kelainan dan perubahan. Kita tengok PH dah mula fokus semula kepada manifesto dan berusaha mengotakan janji.

“Tun Mahathir juga ada menggariskan beberapa perkara penting dalam ucapan beliau dan inisiatif baru di mana setahun pemerintahan PH menunjukkan komitmen pemimpin yang sedang memperbetulkan keadaan.

“Kebetulan di Sabah dan Sarawak mereka ada sedikit sentimen bahawa PH mempunyai iltizam untuk membantu rakyat. Kalau kita lihat juga akhir-akhir ini nampaknya kerajaan sudah dapat tangani isu-isu media dengan lebih baik,”katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menekankan bahawa kejayaan PH di Sandakan turut bersandar pada faktor kejayaan kerajaan menangani isu-isu yang dibawa oleh media terutama media kerajaan supaya terus membawa mesej positif kepada rakyat.

Beliau yang juga Pensyarah Kanan Bahagian Politik dan Polisi Awam Sekolah Perdana, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), berkata, media dibawah kerajaan hari ini sudah mula mengadakan kempen dan penerangan tentang dasar kerajaan yang diperlukan untuk pemahaman rakyat yang akhirnya telah membentuk kemenangan besar di Sandakan.

Selain itu, katanya, sentimen perkauman yang dimainkan Umno-Pas tidak lagi berjaya mempengaruhi pengundi Sabah di Sandakan di mana penglibatan Pas sendiri dalam tempoh berkempen untuk parti Parti Bersatu Sabah (PBS) menyebabkan masyarakat Sabah tidak selesa dengan politik perkauman yang dibawa.

“Masyarakat Sabah ini lain. Mereka berkawan dengan semua agama sama ada kristian, iban, dan juga Islam. Jika kita perhatikan, Sandakan mempunyai majoriti orang Islam namun mengapa DAP masih boleh menang? Ini kerana orang Islam Sabah tolak PBS dan mereka lihat politik perkauman ini tidak baik untuk politik di Sabah.

“Tambahan pula, Najib yang turun padang dan berkempen sebenarnya sudah mempunyai imej yang tidak baik. Imej Bossku itu sendiri tidak bagus apatah lagi setelah beliau sendiri telah dibicarakan hampir 16 hari dan banyak amalan rasuah yang telah didedahkan. Sekarang, Imej Bossku dah dikaitkan dengan rasuah yang menyebabkan rakyat tidak terima beliau,”ujarnya.