Malaysia Dateline

Kemenangan PRU14 ibarat durian mentah, penghinaan Pas terhadap rakyat

Dakwaan Presiden Pas bahawa kemenangan PH dalam pilihan raya umum (PRU) ke-14 yang lalu ibarat durian mentah merupakan satu penghinaan kepada rakyat negara ini yang telah memberi mandat kepada Pakatan Harapan (PH) untuk mentadbir Putrajaya.

Demikian dinyatakan oleh Adun Permatang Pasir, Faiz Fadzil.

Menurutnya lagi, kemenangan PH dalam PRU yang lalu adalah hasil perjuangan yang begitu lama hampir 60 tahun menentang Umno dan BN.

“Sudah pasti, pengundi cukup matang dengan isu politik dan kelemahan urustadbir serta penyelewengan BN yang membuatkan rakyat menolak mereka.

“Sejujurnya ia bukanlah durian mentah, sebaliknya durian tersebut sudah cukup ranum tetapi ditebuk tupai dan kera yang senantiasa mempunyai sifat khianat.

“Ia umpama Pas dan Umno yang diibaratkan seperti tupai dan kera kerana tidak menunggu pilihan raya bagi menukar kerajaan tetapi menebuk kerajaan PH dengan bersekongkol bersama beberapa pimpinan PH yang khianat,” jelasnya.

Tambah beliau, selayaknya perumpamaan kerajaan tebuk atap dilafazkan oleh Presiden Pas sendiri kerana ia sendiri yang melakukannya.

Kata Faiz lagi, tindakan merampas kerajaan PH yang sah dan dipilih oleh rakyat adalah disebabkan ketakutan pemimpin Umno yang berhadapan dengan kes-kes penyelewengan di mahkamah, manakala Pas pula diumpamakan seperti kemaruk kuasa setelah tidak mampu menang melalui pilihan raya.

“Pas dapat diibaratkan seperti meludah ke langit kerana dahulu menyalahkan Umno merampas kerajaan negeri Perak pada tahun 2009, tetapi kini terlibat dalam konspirasi yang sama.

“Adalah diharapkan Presiden Pas berhenti mengeluarkan fatwa politik murahan sebegini kerana ia merendahkan martabat beliau sebagai ulama, sedangkan tugas beliau sebagai duta khas ke Timur Tengah masih belum terlaksana.

“Sepatutnya setelah menjadi sebuah kerajaan, maka apa yang telah dijanjikan untuk membawa keamanan sejagat seharusnya ditunaikan kerana gaji yang dibayar rakyat kepada beliau adalah setaraf menteri,” ujarnya.