Malaysia Dateline

Kemenangan Umno-Pas ibarat ‘menghalalkan apa yang haram’, kata MPT Bersatu

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Dr Rais Husin Mohamed Ariff, menyifatkan kemenangan Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih baru-baru ini, memberi suntikan semangat kepada parti itu untuk ‘menghalalkan apa yang haram’.

Rais berkata,  wang, diibaratkan seperti  susu dan madu dalam politik, jika diambil daripada sebuah parti yang didakwanya korup, ia bermakna satu parti lagi turut sama menjadi korup.

“Namun Pas tetap cuba ‘menyusu’ dengan Umno apabila (bekas Mursyidul Am Pas) Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meninggal dunia pada 2014,” katanya.

Rais berkata, Pas seolah-olah menjadi penjilat Umno atas kes yang difailkan Abdul Hadi kepada Clare Rewcastle-Brown di London.

Ujarnya lagi, untuk menyelesaikan saman itu, Pas didakwa membayar RM1.4 juta untuk mendiamkan Rewcastle Brown.

“Datuk Seri Anwar Ibrahim mengetahui tentang RM1.4 juta yang dibayar oleh Pas kepada Clare Rewcastle supaya portal berita tersebut berdiam diri.

“Beliau (Anwar Ibrahim) mendedahkannya, namun perkara itu tidak sampai kepada pengundi Semenyih pada ketika itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Rais berkata, undang-undang syariah melarang perbuatan tersebut dan ‘perkahwinan’ parti ini melibatkan dua orang yang marah, berkahwin antara satu sama lain untuk menutup perbuatan mereka yang memalukan.

“Apabila Pas diambil alih parti rasuah seperti Umno, hanya ada satu hasil dan kesudahan yang masuk akal, iaitu Pas juga rosak,” katanya.