Malaysia Dateline

Kementerian berbincang dengan kesatuan sekerja usaha jaga kebajikan pekerja Utusan Melayu

Kementerian Sumber Manusia sedang berbincang dengan kesatuan sekerja Utusan Melayu (M) Bhd untuk meletakkan wakil mereka di dalam jawatankuasa pemegang amanah bagi memastikan kebajikan pekerja syarikat itu yang ditawarkan skim pemisahan sukarela (VSS), terbela.

Timbalan Menterinya Datuk Mahfuz Omar berkata wakil kesatuan itu mampu memantau aktiviti penjualan aset syarikat akhbar berkenaan supaya memberikan keutamaan dalam membuat pembayaran VSS kepada pekerja terlibat, berbanding perkara yang lain.

“Bila VSS biasanya bagi seketul (duit), dia (pengurusan Utusan) kata kena ambil masa 12 bulan, ini tak pernah berlaku lagi ni, orang lain bila VSS dia bagi terus, tapi syarikat UMNO ini terpaksa bagi 12 bulan. Saya tanya kenapa, dia kata tidak ada duit, nak kena tunggu jual aset,” katanya ketika menggulung perbahasan peringkat dasar Belanjawan 2019 bagi kementeriannya di Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata 3,598 orang diberhentikan menerusi skim VSS termasuk 701 kakitangan Utusan Melayu dalam tempoh hingga 30 Sept tahun ini.

Mahfuz berkata 12,305 orang pula diberhentikan kerja secara biasa, berdasarkan rekod yang dikeluarkan Jabatan Tenaga Kerja.

Katanya keseluruhannya 15,903 orang diberhentikan kerja dalam tempoh berkenaan pada tahun ini, manakala sepanjang tahun lepas 35,097 orang diberhentikan kerja.

— BERNAMA