Malaysia Dateline

Kementerian Doraemon, Nobita dan Dorayaki: Menteri sudah jadi Rinaemon

Akibat salah komunikasi dengan umum ketika menghadapi Covid-19, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat kini sudah digelarkan sebagai Kementerian Doraemon, Nobita dan Dorayaki.

Manakala menterinya pula sudah digelarkan sebagai Rinaemon bukan lagi Datuk Seri Rina Mohd Harun manakala timbalannya sudah jadi Siti Giant bukan lagi Siti Zailah Mohd Yusof.

Bahkan seorang aktivis di twitter sudah mencipta satu lagu khas untuk kementerian ini khasnya untuk menterinya.

Aktivis yang berkicau di #takaharasuiko itu, menukilkan sebuah lagu dengan nama Kementerian Doraemon, Nobita dan Dorayaki.

Di Kelantan, seorang aktivis yang memperkenalkan dirinya sebagai Kak Jah pula sudah membuat satu sketsa khas dengan suaminya bagaimana melaksanakan arahan atau nasihat dari Kementerian itu.

“Gini ke hak Kementerian Pembangunan Wanita suruh buat tu,” tulis beliau di facebooknya sampai memaparkan sketsa itu sambil berpakaian kemas.

Dalam nasihat Kementerian itu dalam menghadapi Covid-19, wanita diminta memakai pakaian seumpama ke pejabat dan berhias diri walaupun bekerja di rumah.

Bukan begini sayang, gunakan mesin lipat kain ajaib…Doraemon.

“Alhamdulillah, berkesan sungguh. Sakit tekok ambo buat soro (suara) Doraemon. Hahaha asal bahagia, hari-hari Doraemon pun takpe,” tulis Jah lagi.

Aksi Jah dan suaminya ini telah dikongsi ramai aktivis sosial dan politik dalam facebook masing-masing.

Selain dipermainkan oleh netizen tempatan, tindakan Kementerian Rina yang mengeluarkan beberapa panduan kepada suri rumah untuk mengelakkan pergaduhan bersama pasangan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menjadi berita antarabangsa.

Media UK, Independent semalam melaporkan, ekoran panduan tersebut kerajaan Malaysia menghadapi kritikan meluas dari kalangan rakyat dan pertubuhan wanita yang menyifatkan ia berbau ‘sexist’.

Selain Independent, Al Jaziera, CNN, Chanel New Asia dan lain-lain juga menyiarkan berita yang memalukan negara itu.