Kementerian Kesihatan arah henti jual salad tercemar

Kementerian Kesihatan mengarahkan penjualan produk ‘iceberg lettuce’ dihentikan serta-merta selepas pihak berkuasa Singapura berbuat demikian ekoran dicemari bahan kimia fipronil.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, produk yang dijual di pasaran tempatan dengan jenama Vege 2 Fresh itu pada masa ini ditarik balik dari pasaran secara sukarela oleh syarikat pengeluar.

Menurutnya dalam satu kenyataan hari ini, pengguna yang telah membeli produk tersebut dinasihatkan supaya tidak memakannya.

Keputusan berkenaan selepas Agri-Food & Veterinary Authority (AVA) bertindak mengarahkan produk salad keluaran Malaysia itu ditarik balik dari pasaran Singapura kerana tercemar dengan bahan kimia fipronil.

Fipronil adalah sejenis racun serangga yang biasanya digunakan ke atas haiwan untuk mengatasi masalah kutu dan hama.

Pengambilannya pada paras tinggi dalam jangka masa pendek boleh menyebabkan berpeluh, loya, muntah, sakit kepala, sakit perut, pening, resah, lemah dan kekejangan.

Dr Noor Hisham berkata, hasil pemantauan KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan dari tahun 2017 sehingga Julai 2018, sebanyak 5,297 sampel sayuran dan buahan diambil di pasaran tempatan dan di pintu masuk negara bagi yang diimport untuk dianalisis.

“Hasil analisis mendapati sebanyak 97 produk atau 1.8 peratus sampel dikesan mengandungi residu racun perosak melebihi kadar maksimum yang dibenarkan dan tindakan penguatkuasaan dijalankan.

“KKM akan terus meningkatkan pemantauan ke atas sayur-sayuran di pasaran tempatan dan di pintu masuk negara bagi memastikan pematuhan ke atas perundangan makanan,” jelasnya.

Sebarang kemusykilan berhubung isu keselamatan makanan, pengguna boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau melalui laman http://moh.spab.gov.my atau Facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) www.facebook.com/bkkmhq

10.0
OVERALL SCORE
: 10.0
Have no any user vote
CATEGORIES
TAGS