Malaysia Dateline

Kementerian Kesihatan gesa tangguhkan himpunan cegah jangkitan Covid-19

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menggesa agar semua perhimpunan yang melibatkan orang ramai ditangguhkan bagi mencegah kemungkinan jangkitan Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, orang ramai dinasihatkan agar tidak menghadiri program di tempat yang padat termasuk aktiviti keagamaan jika mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan.

“Individu yang bergejala dinasihatkan menjarakkan diri sekurang-kurangnya satu meter apabila berhadapan individu lain.

“KKM menasihatkan orang ramai tidak melancong keluar negara terutamanya negara-negara yang sedang mengalami wabak jangkitan Covid-19.

“Rakyat Malaysia yang bergejala jangkitan saluran pernafasan juga dinasihatkan untuk tidak melawat kawasan-kawasan lain di Malaysia semasa cuti sekolah,” katanya dalam satu kenyataannya di Facebook hari ini.

Pada masa sama, Dr Noor Hisham menyarankan agar orang ramai mengmalkan langkah-langkah pencegahan dan menjaga kebersihan diri.

Setakat 12 tengah hari tadi, sebanyak 125 kes positif Covid-19 direkodkan dengan 95 kes daripadanya berkaitan dengan kluster perhimpunan tabligh di Masjid Sri Petaling.

Keseluruhan kes positif di Malaysia adalah 553 kes dengan 12 kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).