Kementerian Kesihatan teruskan operasi penguatkuasaan bendung pembiakan Aedes

Kementerian Kesihatan teruskan operasi penguatkuasaan bendung pembiakan Aedes

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melancarkan operasi penguatkuasaan khas iaitu ‘Ops Gempur Aedes Siri 5/2018’ di seluruh negara pada 15 dan 16 Mei 2018 lalu.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah, operasi kali ini mensasarkan premis di tapak komersial yang merupakan antara penyumbang kepada tempat berpotensi pembiakan Aedes.

“Daripada empat ratus dua (402) tapak komersial yang telah diperiksa sepanjang dua hari dan sejumlah empat ribu tujuh ratus sembilan (4709) buah premis di dalam tapak komersial diperiksa, didapati sebanyak lapan puluh enam (86) buah premis membiarkan pembiakan Aedes berlaku dan menyumbang kepada 21.4 % daripada jumlah tapak komersial yang diperiksa.

“Penghuni premis serta badan yang mengawal kebersihan premis-premis di tapak komersial perlu prihatin tentang keadaan ini memandangkan berlaku pergerakan orang awam yang tinggi sepanjang masa.

“Premis-premis yang membiarkan pembiakan Aedes berlaku boleh menjadi punca kemerebakan demam denggi,” kata beliau dalam kenyataan medianya kelmarin.

Jelas beliau, sebanyak lapan (8) Notis Arahan Kerja-Kerja Pembersihan dikeluarkan. Sejumlah lapan puluh (80) tawaran kompaun dengan nilai Ringgit Malaysia empat puluh ribu (RM 40,000.00) akan dikeluarkan.

Kementerian Kesihatan Malaysia tambahnya, akan meneruskan operasi penguatkuasaan secara berterusan sebagai langkah membendung peningkatan kes demam denggi dan mengurangkan risiko jangkitan demam denggi dalam kalangan masyarakat.

Sehubungan itu kata beliau, KKM menyeru seluruh masyarakat untuk bersama-sama berusaha bagi mencapai kesejahteraan hidup melalui persekitaran yang sihat dan selamat.

CATEGORIES