Kementerian Kesihatan tidak sokong cadangan RISDA tanam Ketum untuk eksport

Kementerian Kesihatan (KKM) tidak bersetuju dengan cadangan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) supaya kerajaan membenarkan pekebun kecil di negara ini menanam pokok ketum bagi meningkatkan pendapatan mereka.

Kementerian Kesihatan tidak sokong cadangan RISDA tanam Ketum untuk eksport

Kementerian Kesihatan (KKM) tidak bersetuju dengan cadangan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) supaya kerajaan membenarkan pekebun kecil di negara ini menanam pokok ketum bagi meningkatkan pendapatan mereka.

Menterinya Datuk Seri Dr S.Subramaniam berkata kementerian itu mendapati ketum mempunyai ciri-ciri seperti ganja dan heroin yang boleh mendatangkan kesan negatif.

“Kita tidak sokong apa yang dicadangkan oleh RISDA agar ketum ditanam untuk tujuan perubatan walaupun mendapat permintaan tinggi dari beberapa syarikat farmasi dari Amerika Syarikat dan Eropah,” katanya kepada pemberita di sini, malam ini.

Dalam kenyataan semalam Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, berkata tidak salah untuk menanam daun ketum bagi tujuan komersial kerana ia tidak termaktub dalam peruntukan undang-undang.

Beliau berkata, seseorang boleh dikenakan tindakan hanya jika wujud aktiviti memetik, memproses dan mengedar daun ketum.

Justeru, kata Khalid, cadangan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) untuk menanam pokok ketum bagi tujuan eksport adalah dibenarkan, namun perbincangan perlu dibuat dengan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi tujuan kawalan supaya ia tidak disalah guna.

“Dalam undang-undang Seksyen 30(3) Akta Racun 1952, tidak dinyatakan menanam daun ketum adalah salah.

“Bagaimanapun, saya cadangkan kepada RISDA jika mereka mendapati daun ketum itu ada nilai dalam perubatan dan mahu mengeksportnya, mereka perlu dapat kebenaran dan pandangan daripada KKM kerana KKM saja yang dapat memutuskan perkara itu.

“Tambahan, ketum termasuk dadah berjadual yang boleh menyebabkan seseorang itu khayal jika diambil dalam kuantiti berlebihan,” katanya.