Kementerian Kewangan perlu beri peruntukan geran khas tanam semula kepada semua pekebun kecil

Kementerian Kewangan perlu beri peruntukan geran khas tanam semula kepada semua pekebun kecil

Pergerakan Pemuda Umno Malaysia menyeru Menteri Kewangan untuk meluluskan segera peruntukan khas bagi skim bantuan tanam semula dalam bentuk geran kepada semua pekebun kecil seluruh negara.

Ketua Pemudanya Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, adalah amat dikesali kerana keputusan kerajaan menerusi Kementerian  Industri Utama dan Asas Tani  akan menghentikan skim bantuan tanam semula yang selama ini dinikmati hampir 650,000 pekebun kecil di negara ini.

“Menteri Kewangan perlu meluluskan segera peruntukan khas bagi skim bantuan tanam semula dalam bentuk geran kepada semua pekebun kecil sama ada persendirian atau tersusun seperti di Felda dan Felcra untuk meringankan beban mereka yang sudah besar akibat harga minyak sawit dunia rendah.

“Pemuda Umno kesal dengan keputusan Kerajaan untuk menghentikan skim bantuan tanaman semula kepada pekebun kecil sawit di seluruh negara,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Katanya lagi , alasan yang diberikan Menteri Industri Utama Teresa Kok bahawa skim ini diberhentikan kerana ianya tidak adil bagi pekebun-pekebun kecil tersusun seperti peneroka Felda dan peserta Felcra adalah tidak tepat.

“Sekiranya Kerajaan komited mahu membantu golongan ini, kesemuanya termasuklah pekebun kecil persendirian dan tersusun boleh menerima skim bantuan ini.

“Alasan yang diberikan oleh YB Menteri ini nampaknya cuba menutup kelemahan Kerajaan PH yang tidak mempunyai peruntukan yang cukup disebabkan kekurangan pendapatan selepas pemansuhan GST tahun lepas.

“Skim bantuan tanaman semula ini menjadi ‘mangsa’ seterusnya selepas banyak lagi bantuan-bantuan rakyat luar bandar seperti bantuan nelayan, pesawah, dan Bantuan Musim. Tengkujuh (BMT) yang dihentikan pada Belanjawan 2019,” ujarnya.

Kata Dr Asyraf lagi, Pemuda Umno amat kecewa kerana pekebun-pekebun kecil ini terpaksa berhutang di bawah 2 skim pinjaman baharu yang dirancang oleh Kerajaan PH.

“Sudahlah harga sawit rendah dan pekebun-pekebun kecil ini tidak boleh menyimpan banyak untuk tabung sara hidup mereka.

“Bagaimana pula nasib mereka yang terpaksa berhutang dan kekurangan dana sara hidup untuk menyara keluarga sementara menunggu hasil pokok matang?” katanya.

Semalam Kerajaan tidak akan melaksanakan kembali skim bantuan penanaman semula kepada pekebun kecil di negara ini kerana mahu bersikap adil kepada semua pihak.

Menteri Industri Utama, Teresa Kok Suh Sim berkata, skim itu dilihat hanya memberikan kelebihan kepada satu pihak sebelum ini dan tidak membabitkan keseluruhan termasuk pekebun tersusun di Felda dan Felcra.