Malaysia Dateline

Kementerian Kewangan sasar kutipan cukai 2020 RM155 bilion

Kementerian Kewangan menyasarkan kutipan cukai oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi 2020 akan meningkat sebanyak lima peratus kepada RM155 bilion berbanding RM147 bilion pada tahun lepas.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata prestasi kutipan kasar cukai langsung negara oleh LHDN bagi 2019 adalah sebanyak RM145.078 bilion.

Menurutnya, kutipan bagi 2019 turut merekodkan peningkatan hampir enam peratus atau melebihi RM8 bilion berbanding kutipan pada tahun sebelumnya.

“Ini sekali gus telah mencipta satu lagi sejarah baharu kutipan hasil cukai langsung negara apabila mengatasi pencapaian kutipan terbaik yang direkodkan pada 2018 iaitu sekitar RM137 bilion,” katanya pada sidang media selepas program Hari Bertemu Pelanggan LHDN hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif LHDN Datuk Seri Dr Sabin Samitah.

Mengulas selanjutnya, Lim berkata selain mencerminkan keberkesanan kepimpinan bersih dan pentadbiran Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT), peningkatan hasil cukai pada tahun lepas turut menunjukkan bahawa pertumbuhan ekonomi negara pada 2019 dan tahun ini masih mampan.

Antara strategi kerajaan yang berkesan sepanjang 2019 ialah aktiviti penguatkuasaan cukai Iebih profesional, program pendidikan cukai yang berfokus dan pelaksanaan Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS) yang diperkenalkan melalui pembentangan Belanjawan 2019 oleh Kementerian Kewangan.

Menurutnya, langkah itu terbukti meningkatkan keyakinan rakyat untuk menjalankan tanggungjawab sebagai pembayar cukai.

“Kerajaan menerusi LHDNM akan terus melaksanakan undang-undang percukaian dengan efisyen untuk meningkatkan lagi keberkesanan aktiviti penguatkuasaan bagi menangani isu ekonomi bayangan yang dianggarkan sekitar 20 peratus daripada saiz Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK),” katanya.

Lim berkata, LHDNM juga akan menambah kekerapan sesi libat urus dan aktiviti pendidikan cukai bersama semua pihak yang berkepentingan bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat, termasuk program Hari Bertemu Pelanggan yang diadakan pada hari ini.

— BERNAMA