Kementerian Kewangan mendedahkan kegagalan syarikat perniagaan fesyen atas talian, FashionValet hingga menyebabkan pelaburan disuntik Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) dan Permodalan Nasional Bhd (PNB) mengalami kerugian berpunca daripada tiga faktor luar jangka.
Salah satu dari faktor tersebut adalah implikasi COVID-19 yang menghalang perniagaan FashionValet dijalankan secara fizikal lalu mengakibatkan pasaran untuk pakaian premium, termasuk tudung telah merosot dengan ketara.
Menurut Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, FashionValet telah bertindak menambah bilangan kedai fizikal secara pesat ketika ingin mencapai aspirasi untuk menjadi platform membeli-belah pelbagai saluran.
Namun, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan semasa COVID19 telah menghalang perniagaan berjalan secara fizikal dan mengakibatkan pasaran untuk pakaian premium, termasuk tudung merosot dengan ketara, lapor Berita Harian.
Jelas Amir Hamzah ketika menjawab soalan dalam sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat dari Syerleena Abdul Rashid (PH-Bukit Bendera), situasi itu menyebabkan kedai fizikal yang kurang mendapat sambutan juga terpaksa ditutup.
Faktor kedua pula adalah perubahan trend platform atas talian yang mana jenama fesyen tempatan terutamanya fesyen sopan mengalami perkembangan pesat dengan menggunakan saluran jualan e-platform tersendiri berserta saluran alternatif mudah akses seperti Facebook.
Perubahan ini telah menyebabkan syarikat FashionValet mengalami saingan hebat seterusnya platform berkenaan terpaksa ditutup bagi mengalihkan fokus mereka kepada jenama sendiri iaitu dUCk dan LILIT.
“Faktor terakhir dari segi cabaran pengumpulan dana di mana semua cabaran ini telah menyebabkan kekangan aliran tunai kepada FashionValet. Syarikat itu berusaha mengumpulkan dana baharu untuk menangani masalah ini.
“Tetapi pemegang saham sedia ada termasuk Khazanah dan PNB tidak bersetuju untuk mengambil risiko tambahan dengan menambah pelaburan dalam Fashion Valet.
“Malah, pasaran pengumpulan dana yang mencabar ketika itu menyebabkan proses pengumpulan dana dijalankan FashionValet tidak berjaya,” katanya memetik laporan Berita Harian.
Mengulas lanjut, Amir Hamzah berkata ketika Khazanah dan PNB membuat pertimbangan dan penilaian untuk potensi pelaburan dalam FashionValet pada 2017, syarikat itu menjadi sebuah platform fesyen e-dagang yang mempunyai lebih 400 jenama dan 15,000 produk.
Tidak hanya merekodkan kadar pertumbuhan tahunan dari tahun 2013 sebanyak lebih 100 peratus, syarikat itu juga mempunyai hasil perniagaan hampir RM60 juta ketika proses penilaian terperinci dan ketekunan wajar tersebut dilaksanakan.
“Pelaburan oleh Khazanah dan PNB dalam Fashion Valet dibuat setelah melalui proses penilaian terperinci dan ketekunan wajar oleh pihak masing-masing dan dilaksanakan pada nilai pasaran yang mencerminkan trajektori pertumbuhan FashionValet yang kukuh pada masa itu.
“Suntikan pelaburan oleh Khazanah dan PNB ke dalam FashionValet digunakan untuk mengembangkan platform FashionValet supaya menjadi platform e-dagang serantau bagi jenama tempatan. Ini termasuk menambah bilangan kedai fizikal selaras aspirasi FashionValet untuk menjadi platform membeli-belah pelbagai saluran dan membangunkan jenama dimiliki sepenuhnya oleh mereka.
“Fashion Valet telah mencatatkan pulangan tunai positif untuk beberapa tahun selepas menerima pelaburan daripada Khazanah dan PNB. Namun, pihak Khazanah dan PNB sedia maklum cabaran-cabaran dihadapi FashionValet untuk mengembangkan perniagaan,” jelasnya.
Tambah Amir Hamzah, pihak Khazanah dan PNB telah memainkan peranan proaktif untuk membantu syarikat itu termasuk memberikan bimbingan strategi dan nasihat kewangan kepada ahli pengurusan tertinggi syarikat walaupun kedua-duanya hanyalah pelabur minoriti.
Walau bagaimanapun, impak daripada cabaran-cabaran dihadapi FashionValet terlalu besar hingga menyebabkan situasi kewangan syarikat semakin parah malah mereka juga tidak menerima banyak tawaran daripada pelabur baharu untuk terus beroperasi.
Amir Hamzah juga memberitahu bahawa Khazanah dan PNB mengakui hasil pelaburannya dalam FashionValet tidak selari unjuran pulangan pelaburan, bagaimanapun kerajaan akan terus meneliti dalam memastikan tadbir urus syarikat berkaitan kerajaan (GLC) kekal kukuh.
Baca juga: Terima anugerah Biduanita Negara, Siti terimbau kenangan digelar bunga melur oleh arwah ayah