Kementerian Komunikasi gagal olah pencapaian PH, kritik Rais Yatim

Kementerian Komunikasi gagal olah pencapaian PH, kritik Rais Yatim

Bekas menteri Kabinet, Tan Sri Dr Rais Yatim menyifatkan Kementerian Komunikasi gagal menyampaikan perkembangan kejayaan berkaitan dasar dan program kerajaan Pakatan Harapan (PH) kepada rakyat.

Menurut bekas Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (2009 hingga 2013) itu, banyak pencapaian PH dalam tempoh kurang setahun mengambil alih Putrajaya tidak benar-benar disebar luaskan.

“Kementerian Komunikasi dilihat tidak mampu mengolah pencapaian PH. Contohnya KWSP untuk surirumah. Kerajaan sudah buat. Tapi ceritanya itu tidak dilonjakkan.

“Turun harga minyak 12 sen RON97. Tapi sekelip mata habis berlalu begitu saja. Tiada huraian yang sewajarnya. Bolehlah mansuh kadar tol pada waktu tengah malam tapi sebagai langkah awalan,” ujarnya dalam wawancara eksklusif Malaysia Dateline di ibu negara baru-baru ini.

Pengerusi Bersatu Negeri Sembilan tersebut berkata, tahap penyampaian polisi baharu kerajaan PH antaranya termasuk program antirasuah, kebebasan bersuara, pemulihan integriti adalah penting untuk diketahui rakyat.

“Kita harap Kementerian Penerangan dan media lebih berkesan untuk menghuraikan kemajuan-kemajuan yang dicapai oleh kerajaan.

“RTM pun tidak nampak usaha dalam menguar-uarkan dasar dan perubahan kerajaan. Orang dalam RTM pun ‘budak-budak’ saya sebab dua kali (jadi menteri penerangan).

“Mereka kata sekarang tiada arahan dari atas. Ketua Pengarah pun hanya kata buat apa yang patut. Ini tidak harus berlaku. Jabatan Penerangan mesti berfungsi,” ujar Rais lagi.