Kementerian Luar akui diplomat Israel di KL, tapi dijemput agensi PBB

Kementerian Luar akui diplomat Israel di KL, tapi dijemput agensi PBB

Setelah beberapa hari membisu, akhirnya kementerian luar mengakui kehadiran sekumpulan diplomat Israel di Kuala Lumpur pada 7 hingga 13 Feb lalu bagi menghadiri Forum Bandar Sedunia (WUF) ke-9.

Bagaimanapun menteri luar Datuk Seri Anifah Aman berkata, kedatangan delegasi Israel itu atas jemputan pengarah eksekutif UN-Habitat, agensi di bawah Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dan bukannya dijemput kerajaan Malaysia.

Dalam kenyataan lima perenggan dikeluarkan Wisma Putra, Anifah membidas cubaan pihak tidak bertanggung jawab yang cuba meraih kesempatan politik terhadap penyertaan Israel dalam WUF9 yang berlangsung di Kuala Lumpur Convention Centre dari 7 hingga 13 Feb lalu.

“Kementerian Luar ingin menjelaskan bahawa penyertaan Israel adalah berdasarkan jemputan yang dibuat PBB melalui agensi Program Penempatan Manusia PBB (UN-Habitat).

“Surat jemputan Israel yang ditandatangani oleh pengarah eksekutif UN-Habitat, adalah bersesuaian dengan Perjanjian Negara Tuan Rumah yang ditandatangani organisasi tersebut dengan Malaysia.

“Perkara III dalam perjanjian itu menyebut, penyertaan forum perlulah terbuka yang antara lain, kepada semula negara anggota PBB dan mana-mana agensi berkaitan,” jelas Anifah.

Menurut Anifah, perjanjian yang ditandatangani itu adalah syarat yang ditetapkan bagi penganjuran persidangan PBB yang bakal diadakan di luar ibu pejabat pertubuhan dunia itu.

Anifah juga menegaskan bahawa tidak seperti surat jemputan lain, jemputan kepada Israel tidak ditandatangani oleh pegawai Malaysia.

Sehubungan itu, jelas beliau isu bahawa Malaysia secara bersembunyi cuba mewujudkan hubungan dengan Israel melalui penganjuran forum tersebut adalah tidak berbangkit.

“Pendirian kita terhadap Israel tidak berubah,” katanya.

7.5
OVERALL SCORE
: 10.0
1 user vote x 5.0