Kementerian Pendidikan rancang anjur Kempen Malaysia Membaca

Kementerian Pendidikan rancang anjur Kempen Malaysia Membaca

Kementerian Pendidikan merancang untuk menganjurkan Kempen Malaysia Membaca di peringkat kebangsaan dalam usaha menjadikan pembacaan sebagai gaya hidup rakyat negara ini.

Menterinya, Dr Maszlee Malik hari ini berkata pihaknya akan menjalankan gerakan kempen itu dengan mengajak semua rakyat Malaysia memperuntukkan sedikit waktu untuk membaca bersama-sama seperti penganjuran kempen membaca al-Quran, Malaysia #QuranHour.

“Kami mengharapkan selepas ini banyak lagi program pembacaan yang akan kami lakukan. Dalam perancangan, kami akan mengadakan acara Malaysia Membaca di peringkat kebangsaan. Kita tahu bahawa contohnya Karangkraf mereka menganjurkan Quran Hour, kempen membaca Quran.

“Macam tadilah kita ambil berapa minit ramai-ramai membaca dan lepas ini kami akan buat di peringkat nasional dan juga kalau ada pertolongan dari pihak media contohnya kita berkumpul di Dataran Merdeka, di dataran negeri, kita ambil satu waktu kita akan membaca bersama-sama,” katanya pada sidang media, di sini.

Terdahulu, beliau merasmikan Persidangan Penyelidikan & Inovasi Pendidikan Kebangsaan dan Pesta Buku Institut Pendidikan Guru (IPG) 2019, di IPG Kampus Pulau Pinang, di sini hari ini.

Maszlee berkata kajian turut menunjukkan tabiat membaca dalam kalangan golongan muda semakin meningkat berbanding tahun-tahun sebelum ini.

Bagaimanapun, menurutnya apa yang penting adalah memastikan rakyat Malaysia memilih bahan pembacaan yang berkualiti sekali gus mereka boleh menterjemahkannya ke arah pembangunan negara.

“Ia bukan hanya tentang membaca. Anda boleh membaca banyak perkara tetapi akhirnya bagaimana kita boleh terjemahkan kepada pembinaan bangsa. Bagaimana kita mahu terjemahkan ia ke dalam kehidupan yang harmoni antara komuniti dan bagaimana ia boleh meningkatkan kesedaran awam rakyat kita.

“Inilah tujuan kempen membaca kami untuk memastikan membaca menjadi sebahagian budaya Malaysia. Ia bukan untuk tempoh singkat, ia mengambil sedikit masa tetapi akhirnya apa yang saya harapkan dan impikan daripada kempen ini ialah untuk menjadikan (Malaysia) bangsa membaca…semua orang membaca bahan berkualiti,” katanya.

Sementara itu, Maszlee menyeru semua pihak supaya bersikap rasional dan tidak beremosi berhubung isu pelajaran jawi di sekolah.

Beliau berkata tindakan sesetengah pihak yang terlalu mengikut perasaan atau emosional dalam isu itu sehingga sanggup memperjudikan masa depan kanak-kanak dilihat hanya merugikan negara memandangkan pendidikan satu pelaburan penting untuk generasi muda.

“Saya menyeru kepada semua pihak untuk kembali kepada rasional dan pertimbangan. Jangan terlalu emosional dan jangan terlalu ikutkan sangat perasaan. Pendidikan adalah satu pelaburan yang penting untuk anak-anak kita. Jangan jejaskan masa depan anak-anak kita hanya kerana isu emosional. Pendidikan sangat penting. Sekolah tempat paling selamat untuk anak-anak,” katanya.– BERNAMA