Kementerian Pertahanan jawab peguam sebab Mat Sabu menaiki pesawat TUDM

Kementerian Pertahanan jawab peguam sebab Mat Sabu menaiki pesawat TUDM

Kehadiran Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu menaiki pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Airbus, A400M bagi menghadiri program di Butterworth bertujuan memberi pendedahan mengenai keupayaan, prestasi, kredibiliti dan kemampuan pesawat pengangkut pelbagai guna itu dalam menjalankan pelbagai operasi ketenteraan.

Kementerian Pertahanan dalam satu kenyataan menjelaskan, tindakan itu juga bagi mengekalkan tahap kesiagaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Jelas kenyataan itu, pada hari penerbangan, pesawat pengangkut TUDM A400M yang membawa delegasi Menteri Pertahanan dan pegawai-pegawai kanan ATM ke Butterworth juga digunakan untuk memberi manfaat dan melengkapkan jam penerbangan (flying hours) juruterbang yang membawa pesawat berkenaan.

“Ini kerana setiap juruterbang perlu melengkapkan jumlah jam penerbangan bagi mengekalkan tahap kompetensi mereka.

“Sehubungan itu, pergerakan berkenaan juga dapat menjimatkan kos pengangkutan berbanding menggunakan pesawat komersial dari aspek masa dan kos penerbangan bagi kedua-dua tujuan yang dinyatakan,” jelas kementerian itu hari ini.

Isnin lalu, peguam, Datuk Abu Backer Sidek membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendakwa Mohamad telah menyalahgunakan aset kerajaan untuk lawatan ke Butterworth,pada 27 Mei lalu.

Abu Backer dipetik berkata, presiden Amanah itu diterbangkan ke Pulau Pinang untuk menghadiri majlis berbuka puasa di pangkalan Tentera Utara Diraja Malaysia (TUDM) di sana, sebelum ke Tasek Gelugor, kampung halamannya yang terletak berdekatan untuk satu majlis lain.