Kementerian Pertahanan kutuk insiden di Christchurch

Kementerian Pertahanan kutuk insiden di Christchurch

Kementerian Pertahanan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan kejam terhadap serangan ke atas dua buah masjid iaitu Masjid Al Noor dan Masjid Linwood di Christchurch, New Zealand tengah hari tadi yang telah menyebabkan
40 maut dan puluhan lagi cedera termasuk dua rakyat Malaysia.

Lebih menyedihkan insiden tembakan itu turut dirakam dan disiarkan secara sengaja oleh penjenayah tersebut di internet.

“Saya amat bersimpati dan berharap keluarga mangsa dan masyarakat Christchurch tabah menerima ujian dan menyeru agar masyarakat dunia bersama-sama mengutuk jenayah ini yang tidak boleh diterima sama sekali oleh akal yang waras.

“Saya percaya, kerajaan New Zealand akan memastikan keselamatan rakyat di negara itu sentiasa terjamin dan penjenayah terlibat akan dikenakan hukuman sewajarnya,” tegas Menteri Pertahanan Mohamad Sabu dalam kenyataannya.

Kementerian Pertahanan juga masih menunggu laporan penuh daripada Pejabat Penasihat Pertahanan (PPP) Malaysia di New Zealand serta sentiasa berhubung rapat dan sedia bekerjasama dengan Kementerian Luar dalam memastikan keselamatan rakyat Malaysia di sana.