Kementerian Pertahanan, Luar jadi benteng kemerdekaan negara

Pada hari Ahad, 26 Ogos lalu ketika penulis menuju ke selatan, kelihatan di laluan bertentangan, kereta-kereta kebal Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sedang dibawa oleh trak pengangkut menuju arah ke utara.

Andaian penulis adalah mereka itu hendak dibawa ke Putrajaya bagi raptai perbarisan Hari Kebangsaan yang hendak diadakan keesokan harinya.

Melihat aset-aset ATM ini penulis terfikir betapa peralatan tentera ini melambangkan kemampuan negara ini mempertahankan keerdekaannya. Juga teringat bahawa Menteri Pertahanan ialah Mohamad Sabu.

Hari Kebangsaan kali ini amat bermakna bagi banyak rakyat Malaysia kerana buat pertama kalinya ia disambut di bawah pemerintahan kerajaan yang berbeza daripada apa yang ada sepanjang 61 tahun lalu.

Malaysia Baharu pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad ini ditandai dengan sikap mempertahankan kedaulatan dan kemerdekaan negara.

Roboh tembok di Kuantan

Beberapa hari sebelum sambutan itu, Perdana Menteri menyatakan bahawa kerajaan tidak membenarkan orang asing menetap di Forest City, Johor. Sebelum itu pula, beliau mengarahkan apa yang dipanggil sebagai Tembok Besar China di Kuantan dirobohkan.

Pengumuman ini dibuat sekembalinya beliau dari lawatan rasmi ke China. Semasa lawatan itu, dalam ucapannya Perdana Menteri menyebut mengenai kolonialisme baharu dan perdagangan adil.

Ia diikuti dengan pembatalan dua projek berkaitan syarikat China iaitu berhubung dengan Hubungan Keretapi Pantai Timur (ECRL) dan projek gas di Sabah.

Sebaik saja menang pilihan raya umum lalu, beliau mengarahkan pembinaan struktur di pulau milik Malaysia yang berhampiran dengan Singapura. Beliau juga mengumumkan pembatalan projek keretapi laju (HSR) ke negara itu.

Semasa kempen pilihan raya lalu, Perdana Menteri ada menyebut bahawa beliau tidak mahu kapal perang negara luar berada di perairan rantau ini.

Sifat geografi Malaysia tidak lepas daripada percaturan geopolitik global yang melibatkan kuasa-kuasa besar di luar rantau ini.

Buat masa ini, terdapat persaingan kuasa besar Amerika Syarikat dan China di Asia Tenggara khususnya di Laut China Selatan.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu, (kiri) beramah mesra dengan sebahagian anggota pasukan Batalion Kelima Rejimen Renjer Diraja (5RRD) ketika hadir di Majlis Sambutan Hari Raya Bersama warga Pasukan 5RRD di Pos To’  pada Jun lalu. Foto- Staronline.

Konsep Zopfan

Perdana Menteri mengulangi ingatannya mengenai konsep Zon Aman, Bebas dan Berkecuali (Zopfan) yang pernah ditekankan oleh Asean pada tahun-tahun 1970-an dan 1980-an. Pada masa itu Asean mahukan rantau ini bebas dari campur tangan Amerika, Soviet Union dan China.

Asia Tenggara yang mempunyai perairan lalu lintas bagi kapal-kapal perdagangan dan tentera menjadikan rantau ini strategik lebih-lebih lagi Laut China Selatan dan Selat Melaka. Malaysia pula berada di kedua-dua laut ini. Malaysia dan China juga terlibat dengan tuntutan bertindih di beberapa kawasan di Laut China Selatan.

Buat masa ini, China sedang meningkatkan kedudukan strategiknya melalui inisiatif Satu Jalur Satu Jalan (Obor) di peringkat global yang turut merangkul Malaysia.

Tetapi melihat cara Dr Mahathir menghadapinya, ia menunjukkan kerajaan Pakatan Harapan memberi perhatian lebih pada kepentingan kedaulatan dan kemerdekaan negara.

Untuk berhadapan dengan isu-isu geopolitik, iaitu bagi mempertahan kedaulatan dan kemerdekaan negara, kementerian-kementerian yang penting adalah Kementerian Luar dan Kementerian Pertahanan.

Kedua-dua ini, hal ehwal luar dan pertahanan menunjukkan ciri kemerdekaan sesebuah negara. Pada masa penjajahan British sebelum Perang Dunia Kedua, walaupun ada kedaulatan raja-raja Melayu di sembilan negeri dalam Negeri-negeri Melayu Bersekutu (FMS) dan Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu (UFMS), tetapi urusan hal ehwal luar dan pertahanan dipegang oleh British.

Tafsiran berbeza ahli sejarah

Negeri-negeri Melayu ini disebut sebagai Protectorate atau Naungan. Sebab itu ada ahli sejarah dan ahli politik yang beranggapan bahawa negeri-negeri Melayu itu tidak dijajah. Tidak seperti Negeri-negeri Selat iaitu Pulau Pinang, Melaka dan Singapura yang merupakan tanah jajahan. Negeri-negeri Melayu itu hanyalah Naungan kerana raja-raja masih berdaulat di negeri-negeri itu.

Tetapi konsep-konsep Naungan itu adalah ciptaan penggubal undang-undang British. Dengan mencipta konsep itu, orang Melayu berasa mereka masih berdaulat dan merdeka.

Tetapi dalam FMS, raja-raja hanya ada kuasa dalam hal ehwal Islam dan adat istiadat Melayu.

Sementara di UFMS, British memegang kuasa dalam hal ehwal luar dan pertahanan. Di London, Tanah Melayu ini dipanggil British Malaya dan diletakkan di bawah Pejabat Kolonial.

Jepun menyerang dan menakluk Tanah Melayu sebagai melaksanakan dasarnya untuk merdeka dari sekatan perdagangan oleh kuasa-kuasa Eropah.

Sebahagian Asia telah dikuasai Britain, Belanda, Perancis, Jerman dan Amerika Syarikat. Mereka berebut-rebut hendak menguasai China. Pada waktu sama, mereka menghalang Jepun memperoleh bahan mentah dan pasaran bagi perindustrian negara itu.

Maka Jepun menyertai Jerman dan Itali bagi mengalahkan kuasa-kuasa Eropah itu. Adalah matlamat pakatan Paksi (Axis) ini untuk membahagi-bahagi dunia. Eropah dikhaskan untuk Jerman. Itali memperoleh Afrika. Jepun dapat Asia dengan gagasan Perkesemakmuran Asia Raya dengan slogan Asia untuk Asia.

Tetapi Jepun kalah dan Tanah Melayu kembali pada British. London mahu mengekalkan Tanah Melayu sebagai tanah jajahannya kerana ekonomi Britain bergantung padanya. Satu pertiga pendapatan Britain datang dari wilayah kenit Tanah Melayu.

Malayan Union

Maka dihapuskan British Malaya, termasuk kedaulatan raja-raja Melayu dan digantikan dengan Malayan Union pada tahun 1946.

Bantahan orang Melayu tidak dihiraukan. Tetapi pada tahun 1948, Parti Komunis Malaya (PKM) mengangkat senjata untuk kemerdekaan Tanah Melayu dan Singapura.

Tahun berikutnya, 1949, PKM mengisytiharkan matlamatnya hendak menubuhkan Republik Demokratik Rakyat Malaya (RDRM). Tindakan PKM adalah atas arahan Parti Komunis Soviet Union (CPSU) yang memerintah Moscow. Soviet sedang berdepan dengan Amerika, Britain, Perancis dan Belanda.

Moscow mengarahkan semua parti komunis di bawah tanah jajahan negara-negara Eropah itu memerdekakan wilayah masing-masing dan menubuhkan negara-negara komunis.

Bagi mengelak Tanah Melayu jatuh ke tangan komunis, British berbaik dengan orang Melayu. Malayan Union dimansuhkan pada tahun 1948 dan digantikan dengan Persekutuan Tanah Melayu.

Kedaulatan raja-raja Melayu dipulihkan tetapi hal ehwal luar dan pertahanan masih dipegang British.

Pada tahun 1955, British mengadakan pilihan raya umum bagi membolehkan Persekutuan Tanah Melayu mepunyai kerajaan sendiri yang memperoleh mandat dari rakyat.

Namun dalam pilihan raya itu, parti-parti yang tidak mrnyokong Persekutuan Tanah Melayu seperti Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) tidak dapat kelulusan pendaftaran pertubuhan.

Rundingan Baling

Tahun berikutnya, iaitu 1956, kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dan Singapura yang dipilih melalaui pilihan raya mengadakan rundingan dengan PKM di Baling untuk menghentikan Darurat.

PKM meletakkan syarat supaya parti mereka dibenarkan didaftar dan diizinkan menyertai pilihan raya. Tetapi Tunku menolak syarat itu.

Beliau mahu PKM dibubarkan dan mana-ana bekas ahli-ahlinya yang hendak menyertai pilihan raya, mereka boleh measuki mana-mana parti sedia terdaftar.

PKM menolak dan mereka kembali ke hutan untuk meneruskan perjuangan bersenjata.

Pada tahun 1956, berlaku perpecahan besar gerakan komunis sedunia, iaitu antara Soviet dan China. PKM menyebelahi Parti Komunis China (CCP) dalam perpecahan itu. Maka Beijing terus membantu PKM.

Pada 31 Ogos 1957, Britain memberi kemerdekaan kepada Tanah Melayu.

Menteri Luar, Pertahanan

Dalam jemaah menteri pertama, potfolio Menteri Luar dipegang sendiri oleh Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman. Sementara potfolio Menteri Pertahanan disandang oleh Timbalan Perdana Menteri, Tun Razak Hussein.

Begitu penting kementerian ini hingga dipegang oleh peimpin tertinggi negara.

Namun ketika hari kemerdekaan itu, hal ehwal luar masih dipengaruh kuat oleh Britain.

Pertubuhan antarabangsa paling penting bagi Tanah Melayu ketika itu ialah Komanwel.

Duta-duta negara Komanwel dipanggil Pesuruhjaya Tinggi, seperti mana nama jawatan tertinggi di Tanah Melayu dalam struktur kolonial British.

Warna biru pada bendera Tanah Melayu itu merupakan tanda hubungan negara ini dengan Komanwel.

Pesuruhjaya Tinggi British ke Tanah Melayu masih tinggal di kediaman rasmi di Carcossa yang terletak di atas bukit, yang pada masa penjajahan, ia menjadi seperti istana paling berkuasa di negara ini.

Pada tahun 1957, pertahanan Tanah Melayu masih berada pada komandan British yang mengetuai operasi menentang komunis kerana Darurat belum berakhir.

Dr Mahathir yang ketika itu Ketua Umno Kedah membantah kehadiran tentera asing di Tanah Melayu selepas tahun 1957.

Akibatnya berlaku perselisihan antara beliau dan Tunku hinggakan Dr Mahathir tidak diperuntukkan kawasan dalam pilihan raya 1959.

Memihak blok Barat

Pada masa itu, Tunku membawa Tanah Melayu memihak pada blok Barat yang dipimpin oleh Washington dengan London yang mengetuai Komanwel menjadi tonggak penting.

Sebab itu hubungan Malaysia dengan China adalah melalui Taipei. Republik China (ROC) dengan Persekutuan Tanah Melayu mewujudkan hubungan pada tahun 1960.

Seperti kebanyakan negara blok Barat, Tanah Melayu tidak mengiktiraf Republik Rakyat China (PRC).

Namun pada tahun yang sama Darurat diisytihar berakhir. Tetapi PKM tidak mengaku kalah, menyerah diri atau meletak senjata. Mereka melakukan pengunduran taktikal ke Thailand Selatan.

Hanya bila rejim Tunku berakhir selepas pilihan raya umum 1969, barulah arah hal ehwal luar dan pertahanan disusun semula.

Dalam kabinet pertama Tun Razak pada tahun 1970, Perdana Menteri sendiri menyandang jawatan Menteri Luar dan Menteri Pertahanan.

Pada tahun 1974, Malaysia menggantikan hubungan diplomatik pada ROC dengan PRC.

Ketika Dr Mahathir mengambil alih pucuk pimpinan, dalam kabinet pertamanya, beliau sendiri menyandang jawatan Menteri Pertahanan dan jawatan Menteri Luar pula dipegang oleh Tan Sri Ghazali Shafie.

Apabila beliau menjadi perdana menteri kali kedua ini, jawatan Menteri Luar disandang oleh Datuk Saifuddin Abdullah dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Menteri Pertahanan disandang oleh Mohamad Sabu dari Parti Amanah Negara.

Inilah pertama kali dalam sejarah Malaysia, jawatan Perdana Menteri, Menteri Luar dan Menteri Pertahanan tidak disandang oleh pemimpin dari Umno. Ia juga adalah kali pertama ketiga-tiga jawatan itu tidak disandang oleh pemimpin dari parti yang sama.

CATEGORIES