Kementerian Pertahanan sifatkan dakwaan Gerakan Reformasi Veteran ATM tidak berasas

Kementerian Pertahanan sifatkan dakwaan Gerakan Reformasi Veteran ATM tidak berasas

Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV ATM) menyifatkan dakwaan Gerakan Reformasi Veteran ATM (GRVATM) bahawa Kementerian Pertahanan tidak mempunyai rancangan untuk veteran adalah tidak berasas.

Dalam satu kenyataan Ketua Pengarah JHEV ATM Mej Jen Datuk Dzulkarnain Ahmad berkata, kerajaan sememangnya prihatin akan kebajikan Veteran ATM dan melalui JHEV ATM masih meneruskan segala kemudahan dan bantuan sedia ada.

Di antaranya Skim Bantuan Sara Hidup, Skim Bantuan Persekolahan, Bantuan Kemasukan ke Universiti Awam atau Politeknik, Bantuan Peralatan Pesakit, Bantuan Bencana Alam di samping bantuan-bantuan yang lain.

Malah katanya, Majlis Veteran Kebangsaan (MVK) yang julung kali diadakan pada 24 Dis 2018, dan yang akan datang pada bulan Februari 2019 adalah platform untuk membincangkan permasalahan, rancangan masa hadapan dan idea-idea baru untuk kebaikan Veteran ATM.

Beliau berkata demikian merujuk kepada kenyataan Malaysia Gazette bertajuk “Veteran ATM desak PH istihar pelan kebajikan”.

Terdahulu, GRVATM mendakwa Kerajaan Pakatan Harapan tidak melakukan apa-apa tindakan terhadap vateran dan keadaan masih samar walaupun selepas sembilan bulan PH mengambil alih pentadbiran kerajaan.

Tambah beliau, isu permasalahan Veteran ATM bukanlah isu baru dan telah dibangkitkan semenjak pentadbiran kerajaan terdahulu.

Justeru itu, mana-mana veteran yang masih mempunyai permasalahan atau perkara yang ingin disuarakan perlulah menyampaikannya melalui saluran yang betul.

“Di dalam membantu dan memberi perkhidmatan kepada Veteran ATM, JHEV ATM melalui cawangan di seluruh negara bertanggungjawab untuk memantau dan memberi bantuan sewajarnya kepada Veteran ATM dengan sokongan dan bantuan persatuan veteran yang berdaftar di bawah Akta Veteran 2012.

“Sebarang permasalahan perlu disampaikan kepada JHEV ATM samada melalui Cawangan JHEV negeri ataupun persatuan veteran yang sah,” katanya.

Kementerian Pertahanan menyeru semua Veteran ATM untuk berdaftar dengan persatuan yang sah bagi memudahkan sebarang urusan mahupun penyampaian bantuan dan maklumat.

Dengan sistem dan mekanisme sedia ada, katanya, JHEV ATM akan terus berusaha untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada Veteran ATM.

“Kementerian Pertahanan, melalui JHEV ATM sentiasa prihatin dan menitikberatkan kebajikan Veteran ATM, dan akan terus komited untuk membantu meningkatkan taraf sosioekonomi para veteran,” katanya.