Malaysia Dateline

Kementerian Pertahanan terima laporan awal siasatan, akan dedah

Kementerian Pertahanan telah menerima laporan awal Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan yang menjalankan siasatan terhadap beberapa kes dan pembelian aset yang mencurigakan dalam kementerian itu ketika pentadbiran kerajaan terdahulu.

Menterinya Mohamad Sabu bagaimanapun berkata laporan berkenaan hanya akan didedahkan kepada umum selepas kementerian menerima laporan kedua daripada jawatankuasa yang dipengerusikan bekas ketua audit negara Ambrin Buang itu dalam tempoh tiga bulan lagi.

“Jawatankuasa yang diketuai Tan Sri Ambrin ini amat berwibawa, saya yakin penuh laporan ini berwibawa, saya akan dedahkan maklumat ini selepas laporan kedua tiga bulan akan datang (diterima).

“Ada yang spekulasi selama ini hanya berbentuk tuduhan, ada (tuduhan) yang ada faktanya… kita akan hebah mana yang boleh dihebah, itu bergantung kepada syor daripada jawatankuasa ini sebab kementerian ini sensitif terhadap perkara terutama melibatkan hal-hal keselamatan negara,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-11 untuk kementeriannya pada persidangan Dewan Rakyat semalam, laporkan Bernama.

Kementerian Pertahanan adalah kementerian yang pertama yang disiasat oleh jawatankuasa yang diketuai bekas Ketua Audit Negara ini.

Malaysia Dateline difahamkan, antara yang menjadi fokus siasatan ini adalah segala dakwaan salah laku yang berlaku dalam kementerian itu sebagaimana yang dibangkit oleh pelbagai pihak dan dilaporkan oleh media sebelum ini.

Antaranya pembelian kapal selam Scorpean, pembinaan kem tentera yang luar biasa, pembelian peralatan tentera serta juga kontrak-kontrak pembinaan yang diuruskan oleh kementerian itu.

Menurut Mohamad, sebagaimana yang dilaporkan Bernama, beliau meminta jawatankuasa yang ditubuhkan Kerajaan Pakatan Harapan pada 30 Mei lalu memulakan siasatan di kementeriannya terlebih dahulu kerana tidak mahu tuduhan-tuduhan yang dilemparkan menjejaskan semangat warga kementerian berkenaan.

“Dengan siasatan ini, pihak kementerian dan kakitangannya sekarang berada dalam semangat tinggi untuk bekerja bagi menjaga keamanan dan mempertahankan keselamatan negara,” katanya.

Pada 22 Mei lalu, Mohamad berjanji akan menyiasat segala dakwaan mengenai skandal dikaitkan dengan kementerian itu.

Ini termasuklah isu dua unit kapal selam Scorpene yang mencetuskan kontroversi serta pembaziran dan dakwaan salah guna kuasa melibatkan pembelian aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM).